KIRSTY
KIRSTY
Agensi

London: Bertentang mata dengan lelaki kacak membuatkan lututnya lemah, tiba-tiba sistem badannya lumpuh dan boleh pengsan.

Tindak balas Cataplexy itu dialami Kirsty Brown, 32, dari Northwich, Cheshire yang menghidap narkolepsi yang dikaitkan dengan gangguan gen.

Cataplexy adalah kelemahan otot yang berlaku tiba-tiba dan disertai dengan kesedaran penuh oleh emosi.

Kristy memberitahu, dia juga mengalami tindak balas sama apabila mendengar suara kuat, dalam ketakutan, kemarahan dan ketawa.

Ibu dua anak itu berkata, dia kerap memandang ke bawah ketika berjalan di tempat awam bagi mengelak mengalami masalah berkenaan.

Setiap hari, dia mengalami lima kali serangan Cataplexy dan paling buruk sehingga 50 kali menyebabkan tidak mahu keluar rumah.

"Penyakit ini berkait gangguan tidur dan menyebabkan kami (penghidap) sukar tidur mencukupi. Apabila tidak cukup tidur, ia buatkan lebih letih dan mudah terima serangan banyak kali berbanding biasa.

"Ia macam litar pintas dari otak ke badan yang terganggu menyebabkan saya tidak dapat mengawal kaki saya.

"Saya juga boleh terkena serangan ketika berada di tangga curam kerana saya gayat di tempat tinggi," katanya seperti dilapor The Sun.

Wanita itu memberitahu dia dilahirkan dengan genetik narkolepsi, namun keadaan itu mula dirasai selepas cedera di kepalanya ketika berusia sembilan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:30 AM