Nor ‘Asyikin Mat Hayin

PASTINYA ada yang pernah melalui pengalaman berasa seperti dihempap atau ditindih 'objek' berat sewaktu terjaga daripada tidur pada tengah malam.

Kesan tindihan ini juga menyebabkan seseorang itu tidak boleh menggerakkan badan dan menjerit untuk

meminta pertolongan.

Ini membuatkan mereka yang mengalaminya berasa sangat takut dan panik, tetapi tubuh kaku itu menghalangnya untuk bertindak.

Situasi ini dinamakan sebagai kelumpuhan sewaktu tidur atau 'sleep paralysis'.

Namun, secara umumnya, segelintir masyarakat menganggap kejadian kelumpuhan sewaktu tidur ini mempunyai kaitan dengan gangguan syaitan atau jin.

Ini adalah satu fenomena global yang sudah dibahaskan berabad lamanya.

Terdapat lebih 100 budaya di dunia yang menggunakan istilah tersendiri bagi menggambarkan kelumpuhan sewaktu tidur.

MIMPI adalah satu manifestasi yang berlaku pada fasa REM.
MIMPI adalah satu manifestasi yang berlaku pada fasa REM.

'Phi um' adalah istilah Siam yang menggambarkan keadaan seseorang diselubungi hantu sewaktu kelumpuhan tidur terjadi.

Masyarakat Mesir pula beranggapan keadaan ini adalah satu serangan daripada jin.

Sebahagian masyarakat Inggeris pula beranggapan keadaan ini disebabkan roh yang keluar dari badan sewaktu tidur, gagal masuk semula ke dalam tubuh semasa individu itu terjaga.

Ilmuwan Islam, Akhawayni dalam bukunya bertajuk 'Hidayat' memberikan penjelasan saintifik berkaitan kelumpuhan sewaktu tidur adalah pada zaman puncak kepercayaan mistik dalam menjelaskan keadaan ini.

Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fitri Fareez Ramli berkata, daripada sudut perubatan, kelumpuhan sewaktu tidur terjadi pada fasa dikenali sebagai fasa pergerakan mata yang cepat atau 'rapid eye movement'(REM).

Dr Fitri Fareez berkata, pada fasa ini, kelumpuhan otot sementara terjadi terhadap sebahagian besar bahagian tubuh.

"Mimpi adalah salah satu manifestasi yang berlaku pada fasa ini. Kelumpuhan sementara ini adalah satu bentuk pencegahan daripada seseorang yang bertindak balas terhadap mimpi ngeri dialaminya," katanya.

TIDUR mencukupi untuk elak masalah kelumpuhan sewaktu tidur.
TIDUR mencukupi untuk elak masalah kelumpuhan sewaktu tidur.

Kata Dr Fitri Fareez, sekiranya seseorang tersedar sewaktu memasuki atau keluar daripada fasa REM, individu terbabit akan berasakan kelumpuhan ini.

Jelasnya, pada ketika ini, deria seseorang adalah kuat yang menyebabkan individu dapat mendengar, merasa atau melihat.

"Ia boleh terjadi selama beberapa saat hingga beberapa minit. Tempoh lama dikaitkan dengan tekanan yang lebih tinggi.

"Pada waktu ini, bahagian otak tertentu diaktifkan yang menyebabkan seseorang mempunyai persepsi bahawa terdapat satu entiti berada berhampiran dengannya.

"Penampakan entiti itu juga terjadi akibat daripada aktiviti bahagian otak tertentu," katanya.

Menurut Dr Fitri Fareez, terdapat pelbagai penyebab yang mungkin dikaitkan dengan kelumpuhan sewaktu tidur.

Kekurangan tidur atau pola waktu tidur terganggu seperti bekerja syif yang tidak menentu, mungkin menyebabkan kelumpuhan sewaktu tidur.

Trauma atau pengalaman hidup yang mengancam juga dikaitkan dengan keadaan ini.

"Pengalaman berkaitan penderaan seksual ketika kanak-kanak adalah faktor lain yang dikaitkan dengan kejadian kelumpuhan sewaktu tidur," katanya.

Dr Fitri Fareez berkata, individu yang mempunyai masalah kegelisahan atau gangguan pasca trauma mempunyai risiko lebih tinggi berbanding individu tidak mengalami masalah sama.

Kata Dr Fitri Fareez, kajian yang dijalankan untuk mengetahui hubungan antara kelumpuhan sewaktu tidur dan faktor genetik, mendapati keadaan ini boleh diwarisi.

JUMPA doktor untuk membincangkan masalah dihadapi.
JUMPA doktor untuk membincangkan masalah dihadapi.

"Cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah kelumpuhan sewaktu tidur ialah pastikan tidur yang mencukupi iaitu antara enam hingga lapan jam sehari.

"Ia penting supaya kita dapat rehat secukupnya untuk menjalankan aktiviti pada keesokan hari. Digalakkan tidur dan bangun pada waktu sama agar dapat mengekalkan pola tidur yang sihat.

"Kerap bersenam adalah satu rutin yang dapat meningkatkan kualiti tidur. Tetapi senaman itu hendaklah dilakukan dalam tempoh lebih daripada empat jam sebelum tidur," katanya.

Menurut Dr Fitri Fareez, elakkan mengambil makanan berat sebelum tidur dan juga minuman mengandungi kafein seperti teh serta kopi.

Kata Dr Fitri Fareez, selain itu, elakkan tidur pada posisi terlentang bagi mengurangkan risiko kelumpuhan sewaktu tidur.

"Jika rasa keadaan ini berlanjutan dan mengganggu aktiviti harian, segera dapatkan rawatan.

"Antara contoh gejala perlu mendapatkan rawatan segera ialah serangan tidur mendadak yang terjadi berulang kali semasa melakukan aktiviti dan rasa mengantuk berlebihan pada siang hari.

"Berjumpa doktor untuk membincangkan masalah itu. Ini kerana kelumpuhan tidur boleh berlaku disebabkan masalah lain seperti narkolepsi (gangguan saraf yang menyebabkan seseorang tidur seketika tanpa dapat dikawal dan mengantuk berlebihan pada siang) serta kebimbangan melampau atau gangguan pasca trauma.

"Doktor mungkin menjalankan beberapa ujian bagi mengenal pasti masalah dialami dan memberikan ubat tertentu untuk mengatasi masalah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 7:00 AM