Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menjadi individu pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam, media sosial dihujani pelbagai maklum balas.

Selain komen membina dan positif, terdapat juga segelintir warganet memberikan komen seolah-olah memperlekehkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Malah, berdasarkan pemerhatian Harian Metro di media sosial mendapati ada komen melampau termasuk mengubahsuai gambar ketika Perdana Menteri disuntik vaksin dengan menyamakannya sebagai agenda Freemason.

Wartawan mendapatkan reaksi beberapa pakar kesihatan, pengamal undang-undang, ahli agama dan psikologi untuk mengulas perkara itu.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, golongan yang menghasut dan tidak menggalakkan orang ramai mengambil suntikan vaksin Covid-19 adalah sedikit jumlahnya.

"Namun, walaupun segelintir yang amat kecil tetapi amat lantang di media sosial. Justeru, kerajaan perlu mendapatkan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), wakil komuniti dan masyarakat untuk memberikan penjelasan yang betul.

"Figura seperti ahli politik termasuk wakil rakyat juga boleh memainkan peranan ini supaya hasrat program vaksinasi mencapai objektif imuniti komuniti secara maksimum berjalan lancar," katanya yang juga pakar virologi.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, pihaknya akan meneruskan perjuangan dengan pelbagai strategi untuk mencegah penularan Covid-19 termasuk program vaksinasi.

Bagi mengelakkan terpengaruh dengan dakyah, katanya, orang ramai diminta mematuhi nasihat diaturkan kerajaan yang sudah pun merujuk pakar kesihatan dan agama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab menjaga dan memelihara kesihatan rakyat dengan cara yang terbaik.

"Pakar-pakar berpendapat pada saat ini program pemberian vaksin adalah langkah yang terbaik dalam usaha membendung wabak Covid-19. Justeru kita perlu ikuti pandangan dan nasihat pakar-pakar yang sememangnya sudah diiktiraf kepakaran mereka sama ada di bidang perubatan, farmasi atau syariah untuk kebaikan bersama.

"Kalau seseorang itu tidak mahu atau enggan divaksin atas sebab peribadi maka janganlah pula pengaruhi atau menghasut orang lain. Cukuplah keengganan itu disimpan untuk dirinya sendiri sahaja," katanya.

Beliau turut ditanya adakah polis membuka kertas siasatan terhadap pihak ketiga yang membantah suntikan vaksin terutamanya membabitkan penyebaran berita palsu menggalakkan orang ramai tidak mengambil suntikan.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini belum menerima laporan polis berhubung penyebaran berita palsu mengenai vaksin Covid-19.

"Kertas siasatan akan dibuka sekiranya menerima laporan polis berhubung isu berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. PDRM menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan kegusaran kepada masyarakat," katanya.

MUHYIDDIN ketika menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya. FOTO MUZZAFAR KASIM
MUHYIDDIN ketika menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya. FOTO MUZZAFAR KASIM

Pendakwah terkenal Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz pula berkata, dalam hidup ini ada Allah beri orang tertentu yang boleh menyelidik dan menciptakan ubat, penawar atau vaksin untuk kesihatan tubuh badan, fikiran dan spiritual.

Menurutnya, al-Quran juga ada sebut kena rujuk kepada orang yang pakar apabila berdepan sesuatu kesulitan.

"Terbaik yang ada sekarang adalah vaksin dihasilkan itu. Semua dunia terima. Ada juga boleh buat seperti doa, pantang larang atau petua orang tua tetapi kemuncak bidang perubatan sekarang ini ialah lahirnya vaksin Covid-19.

"Orang Islam kena terima sebab ilmu Allah bagi tanpa mengira agama. Siapa yang cukup syarat boleh dapat ilmu itu contohnya belajar, tekun mengkaji, menyelidik, menguji dan mencipta yang akhirnya membantu manusia," katanya.

Bagi Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din pula, dalam semua keadaan dan zaman memang ada kumpulan yang menentang dasar pemerintah.

Menurutnya, aspek psikologi, akan ada satu kelompok tingkah laku yang sebenarnya tak ramai tetapi nampak macam ramai.

"Majoriti, 80 peratus rakyat yang positif di dalam diam dan yang positif mempertahankan dasar. Cuma mungkin ada sekitar 20 peratus menentang dasar manakala yang jelas menunjukkan penentangan hanyalah kira-kira lima peratus sahaja.

"Daripada lima peratus pula, ada satu atau dua peratus sahaja yang tegar akan sentiasa menulis dalam laman sesawang, menjadi netizen membuat tingkah laku memperlekehkan, menghasut dan membuat dakwaan palsu," katanya.

Biarpun tidak ramai, katanya, tetapi apabila dakwaan diulang-ulang, tular dan budaya tempatan secara psikologi pula lebih banyak menumpu satu daripada satu juta pun sudah menyebabkan rasa resah gelisah.

"Ini kumpulan yang ada hasad dengki, cemburu, iri hati, menunjukkan tingkah laku memusnahkan harapan orang yang ada. Contohnya sekarang mereka sedang memusnahkan harapan negara untuk hendak pulih daripada penularan Covid-19. Mereka mahu negara ini hancur atau rosak itu agenda mereka.

"Sebab itu mereka menggunakan macam-macam helah fakta salah sehingga tuduhan konspirasi, teori iluminati dan sebagainya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 6:50 PM