Amir Abd Hamid

Putrajaya: "Saya sukarela menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini untuk melindungi diri saya dan keluarga," kata pemandu ambulans Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Clement Marai Francis.

Clement, 36, berkata dia akan memastikan semua ahli keluarga dan rakannya mengambil tindakan sama dengan menerima suntikan vaksin itu.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak gementar, namun ada merasainya apabila giliran orang kedua dicucuk vaksin selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dos kedua suntikan nanti akan sama tarikh dengan Perdana Menteri iaitu 17 Mac nanti, selepas 21 hari dos pertama hari ini.

"Tadi, saya diberi lima hingga 30 minit untuk berehat selepas dicucuk dan setakat ini tidak ada rasa apa-apa," katanya.

Beliau yang sudah lapan tahun berkhidmat sebagai pemandu ambulans menjelaskan lebih yakin selepas disuntik vaksin.

Ini kerana, katanya, sebagai pemandu ambulans dia kerap berdepan tugas menghantar kes positif Covid-19.

"Saya bersyukur dapat lindungi diri sendiri. Tidak rasa takut lagi bersama dengan keluarga apabila balik kerja," katanya yang mempunyai seorang anak berusia tiga tahun.

CLEMENT Marai Francis menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini. FOTO Bernama
CLEMENT Marai Francis menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini. FOTO Bernama

Sementara itu, Penolong Pegawai Perubatan PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin, 44, pula menjelaskan tidak mengalami kesan sampingan selepas disuntik vaksin.

Dia yang sudah berkhidmat selama 20 tahun menaruh harapan semoga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula secara rasmi, hari ini, berjalan lancar.

"Harap semua bekerjasama ambil suntikan vaksin, Lindung Diri Lindung Semua.

"Insya-Allah kita cuma berikhtiar dan bertawakal kepada Allah SWT," katanya.

Jururawat Klinik Kesihatan (KK) Presint 9, Putrajaya, Sheilla Mellissa Sikin, 31, pula lega apabila segalanya berjalan lancar.

"Perasaan dicucuk? Semua OK," katanya yang berasal Tamparuli, Sabah.

Pegawai Perubatan KK Presint 9, Putrajaya, Dr Tan Yee Ling, 30, pula berbangga terpilih dalam kumpulan sulung bersama pemimpin negara menerima suntikan vaksin.

"Saya rasa sihat sahaja setakat ini. Tiada kesan sampingan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 5:42 PM