GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sebanyak 3,288 kes baharu Covid-19 dan 14 kes kematian dicatatkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 251,604 kes dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 52,186 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 1,929 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 198,495 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 3,282 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,757 kes (53.4 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 1,552 kes (88.3 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

" Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 408 kes (12.4 peratus) dan Johor sebanyak 369 kes (11.2 peratus)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 63 kes (1.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (46kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (7 kes), Kluster Tembok Renggam (5 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (2 kes), Kluster Tembok Taiping (1 kes), Kluster Matambai (1 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (1 kes).

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 14 kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 923 kes atau 0.36 peratus.

"Sehingga kini, terdapat 285 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 131 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"KKM turut mengesan 11 kluster baharu iaitu Kluster Industri Wawasan, Kluster Batu 20, Kluster Tapak Bina Persiaran Sepang, Kluster Tapak Bina Jalan Tandok, Kluster Jalan Dua Belas, Kluster Jalan Tiga KKIP, Kluster Uda Utama, Kluster Kancil Waha, Kluster Lorong Sahabat, Kluster Lorong Bersatu Damai dan Kluster Jalan Harun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 7:36 PM