GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) mengesahkan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 di sini diarah tutup selama 14 hari, berkuat kuasa hari ini hingga 5 Februari depan.

Arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan JKNT selepas mendapati lapan guru di sekolah itu disahkan positif Covid-19, hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan pihaknya mengeluarkan perintah penutupan premis bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit.

Katanya, bagi menjalankan kuasa mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 332), sekolah itu diarahkan ditutup selama 14 hari berkuat kuasa hari ini sehingga 5 Februari depan bagi mengelakkan perebakan penyakit berjangkit.

"Pihak sekolah diperintahkan mematuhi arahan kerja membasmi kuman dan kegagalan mematuhi perintah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 22 (b), Akta 342.

"Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 24 (a) akta yang sama boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau keduanya sekali," katanya.

Difahamkan, sekolah itu belum memulakan sesi persekolahan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuatkuasakan kerajaan semalam.

Pengurusan sekolah itu sudah menghubungi semua ibu bapa murid mengenai penangguhan pengagihan buku teks yang sepatutnya dijadualkan Ahad ini.

Difahamkan, semua ibu bapa murid Tahun Satu dan Enam di sekolah itu diarahkan tidak memasuki dan menghampiri kawasan sekolah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 10:25 PM