Notis perintah tutup premis ditampal JKNT pada kenderaan penganjur bazar Food Truck di kawasan tempat letak kereta di kawasan Drawbridge. FOTO BAHAROM BAKAR
Notis perintah tutup premis ditampal JKNT pada kenderaan penganjur bazar Food Truck di kawasan tempat letak kereta di kawasan Drawbridge. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kegagalan penganjur kendera saji (food truck) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama membenarkan pengunjung makan dan minum di tapak jualan membawa padah apabila diarahkan tutup, hari ini.

Notis perintah tutup premis di kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat (Drawbridge), di sini, berkuat kuasa selama tujuh hari.

Perintah penutupan kawasan jualan kendera saji itu bertujuan melakukan kerja basmi kuman, serangga, tikus atau mencegah bermula atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit.

Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan pihaknya mengeluarkan notis perintah tutup premis di kawasan letak kereta itu bagi mencegah merebak penyakit berjangkit.

"Notis perintah tutup premis itu dikeluarkan mengikut Subseksyen 18 (1), Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan di kawasan itu sebelum ini mendapati peniaga membuka meja serta kerusi bagi kemudahan pengunjung menjamu selera di situ.

Difahamkan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah mengeluarkan larangan supaya penganjur tidak menyediakan meja dan kerusi kepada pengunjung di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan negeri tidak membenarkan aktriviti makan dan minum di kawasan lapang termasuk untuk berbuka puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 8:35 PM