KELIHATAN petugas kesihatan memakai pakaian PPE di SK Kompleks Seberang Takir. FOTO Ghazali Kori.
KELIHATAN petugas kesihatan memakai pakaian PPE di SK Kompleks Seberang Takir. FOTO Ghazali Kori.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Dua lagi sekolah di daerah ini ditutup sementara bermula hari ini sehingga 11 Oktober depan.

Arahan itu dibuat susulan beberapa murid dikatakan mempunyai kontak rapat dengan seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang disahkan positif Covid-19, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Salim Ab Ghani berkata, penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir itu adalah berdasarkan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

"Saya difahamkan hanya guru dan murid sekolah yang mempunyai kontak rapat diarahkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 hari ni.

"Penutupan sementara sekolah yang terbabit juga dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan NSTP di kedua-dua sekolah mendapati sebilangan murid diiringi ibu bapa hadir bagi menjalani saringan Covid-19.

Selain itu, beberapa kenderaan milik JKNT juga didapati memasuki pekarangan sekolah dan petugas kesihatan yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) melakukan kerja-kerja saringan.

Pada Jumaat lalu, SK Padang Kemunting, Kuala Nerus ditutup sementara bermula Jumaat hingga Khamis depan bagi menjalani proses sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas murid darjah satu dan dua sekolah berkenaan dipercayai mempunyai kontak rapat dengan seorang guru yang disahkan positif Covid-19.

Sehingga kini, seramai 20 orang termasuk murid sedang dirawat selepas disahkan positif Covid-19 di Terengganu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 1:23 PM