NOTIS penutupan bazar Ramadan di Kampung Tok Adis ditampal pada tali keselamatan oleh Jabatan Kesihatan negeri. FOTO Baharom Bakar
NOTIS penutupan bazar Ramadan di Kampung Tok Adis ditampal pada tali keselamatan oleh Jabatan Kesihatan negeri. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Gagal mengawal kemasukan pengunjung sehingga berlakunya kesesakan membawa padah apabila bazar Ramadan pertama di negeri diarahkan ditutup selepas beroperasi empat hari, semalam.

Notis penutupan bazar Ramadan di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai selama 15 hari berkuat kuasa semalam hingga 30 April ini dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri (JKNT).

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan notis perintah tutup premis dikeluarkan bertujuan menjalankan kerja-kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit.

"Pada menjalankan kuasa di bawah Seksyen 18(1Xd), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), saya selaku pegawai diberi kuasa dengan ini memerintahkan premis itu ditutup selama 15 hari berkuat kuasa semalam sehingga 30 April ini," katanya ketika mengesahkan penutupan itu melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Sementara itu, peniaga, Ahmad Korim, 50, dari Kuala Ibai kecewa dengan sikap penganjur yang tidak menyediakan petugas mencukupi untuk mengawal kemasukan pengunjung.

Katanya, penganjur gagal memenuhi janji termasuk menyediakan khidmat pasukan Rela dan petugas untuk mengawal kemasukan pengunjung.

"Penganjur memaklumkan bahawa sewa setiap gerai dinaikkan dengan alasan mahu menyediakan perkhidmatan pasukan Rela dan kakitangan bagi kawalan Covid-19.

"Kami tidak menyalahkan kerajaan dengan tindakan diambil, sebaliknya penganjur perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian sehingga menyebabkan bazar Ramadan terpaksa ditutup hanya selepas empat hari beroperasi," katanya sambil mengakui penganjur mendakwa operasi hanya ditutup dua hari.

Ahmad yang terkejut selepas membaca notis penutupan bermula dari semalam sehingga akhir bulan ini yang ditampal pada tali keselamatan di laluan masuk ke kawasan bazar Ramadan merayu kerajaan membenarkan berniaga di bahu jalan.

Sementara itu, tinjauan di bazar Ramadan itu sejak Rabu lalu mendapati penganjur gagal mengawal kemasukan pengunjung sehingga menyebabkan berlakunya keadaan berhimpit dan bersesak.

Walaupun penganjur menyediakan tempat khas untuk melakukan ujian suhu badan pengunjung, tetapi kegagalan mengawal kemasukan pengunjung sehingga berhimpit boleh menyebabkan berlakunya penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 10:27 AM