SARIAH menyediakan ABC untuk pelanggan pada harga RM1.
SARIAH menyediakan ABC untuk pelanggan pada harga RM1.
Azahar Hashim


Kulim: Seorang peniaga makanan di Kampung Keladi di sini, membuat kejutan tersendiri apabila menjual semua hidangan makanan dan minuman di gerainya pada harga RM1.

Antara menu makanan dijual RM1 ialah laksa, rojak buah dan ais kacang atau air batu campur (ABC) hingga gerainya menjadi tumpuan pelajar dan penduduk kampung serta pelanggan dari luar daerah ini.

Gerai dinamakan Warung Mak Chaq ini terletak di lorong berhampiran Masjid Kampung Keladi.

Peniaga terbabit, Sariah Yusof, 40, berkata, dia dibantu ibunya, Maizon Salleh, 70, mengusahakan gerai yang dibina di bawah rumah.

“Kami mula berniaga beberapa tahun lalu namun terpaksa ditutup pada 2014 kerana mengalami sedikit masalah.

“Bagaimanapun, selepas ramai kanak-kanak terutama murid sekolah yang tinggal di kampung ini bertanyakan mengenai gerai ini, akhirnya saya nekad berniaga semula pada 2015.

“Walaupun sudah lebih lapan tahun, harga kami masih sama hingga kini iaitu RM1 untuk semua makanan dijual, walaupun harga barangan seperti ikan agak mahal,” katanya ditemui, semalam.

Menurut Sairah, faktor utama makanan digerainya dijual RM1 disebabkan simpati dan prihatin murid kebanyakan tidak membawa wang belanja yang banyak ke sekolah.

“Kami tidak mahu membebankan murid sekolah, sebab itu kami jual makanan dengan harga murah hingga menjadi tumpuan penduduk kampung.

“Sesiapa yang melalui lorong ini akan berjumpa dengan gerai kami kerana ia agak jauh dari jalan utama.

“Gerai kami juga tidak besar dan dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga jam 6 petang dan tutup pada hari Isnin,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka ada pelanggan memuat naik mengenai gerainya hingga tular di Facebook, sekali gus dikunjungi ramai.

“Ramai pelanggan tertarik dan pada mulanya tidak percaya dengan harga makanan yang kami jual.

“Ada yang datang dari Pulau Pinang dan Sungai Petani semata-mata ingin merasai makanan seperti laksa dan ais kacang yang dijual dengan harga RM1,” katanya sambil menegaskan kualiti makanan tidak diabaikan walaupun harganya murah.

Sementara itu, Maizon berkata, walaupun makanan dijual murah, mereka tidak rugi selain dapat melakukan amal jariah kepada pelanggan.

Katanya, walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan harga makanan di gerainya tetap tidak berubah.

“Kami bukan mahu bersaing dengan peniaga lain di kawasan ini, cuma kami seronok berniaga serta ingin memberi kepuasan kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah yang sukakan ABC dan rojak buah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 2:44 PM