Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis tidak menolak kemungkinan insiden kubur berdarah di Tanah Perkuburan Masjid Al Irfan, Derga pada September lalu ada kaitan dengan perbuatan khianat.

Malah, polis mengesahkan cecair merah yang ditemui di kubur berkenaan adalah cecair campuran dengan bahan berminyak dan bukannya darah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil ujian ke atas cecair merah itu mendapati ia bukan darah sebaliknya campuran bahan yang menjadikannya seolah-olah darah.

Katanya, cecair itu berkemungkinan diletakkan oleh individu tertentu yang dikaitkan dengan perbuatan khianat.

"Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan kerana ini kerja individu nakal.

"Kes ini dianggap selesai dan kebetulan tanah perkuburan itu masih baharu menyebabkan ia mendap," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

DATUK  Hasanuddin Hassan (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di antara Datuk Muhammad Azlee Abdullah (kiri) kepada Senior Asisten Komisioner Zakaria Harun di IPK Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DATUK Hasanuddin Hassan (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di antara Datuk Muhammad Azlee Abdullah (kiri) kepada Senior Asisten Komisioner Zakaria Harun di IPK Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Pada majlis itu, Datuk Muhammad Azlee Abdullah menyerahkan tugasnya kepada Timbalan Ketua Polis Kedah baharu, Senior Asisten Komisioner Zakaria Harun.

Muhammad Azlee berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah selama 18 bulan sebelum bersara wajib hari ini.

Media pada 20 September lalu, melaporkan kisah kubur berdarah yang tular di laman media sosial sehingga mengundang andaian yang boleh mengaibkan jenazah yang baharu dikebumikan dua minggu.

Berikutan itu, jemaah masjid berkenaan membuat laporan polis berkaitan video dan kisah yang tular itu untuk disiasat.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Berita berkaitan:

  • Jabatan Mufti Kedah tunggu laporan forensik 'kubur berdarah'
  • Polis ambil sampel tanah kubur [METROTV]
  • 'Kubur berdarah': Tunggu siasatan polis
  • 'Arwah orang baik, henti tular kisah kubur berdarah' - Imam
  • Laporan polis dibuat susulan tular kubur 'berdarah' [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 2:03 PM