ORANG awam hadir menyelesaikan urusan KWSP di Menara KWSP, Shah Alam.
ORANG awam hadir menyelesaikan urusan KWSP di Menara KWSP, Shah Alam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Ramai yang masih menantikan 'berita baik' daripada kerajaan untuk membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Golongan M40 dan B40 mengharapkan pengeluaran khas KWSP kali ini menjadi kenyataan kerana ia umpama 'talian hayat' kepada mereka yang memiliki caruman mencukupi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Namun, ada juga golongan yang memberikan pendapat daripada perspektif berbeza berkaitan permohonan pengeluaran caruman ini.

Pekerja syarikat minyak dan gas antarabangsa, Herley Abdul Hamid, 48, berkata, dia kurang bersetuju dengan 'tuntutan' pengeluaran khas KWSP kali ini.

"Saya melihat ia seperti sudah menjadi budaya 'mengorek' tabung KWSP, sedangkan ia simpanan persaraan.

"Sekiranya simpanan ini terus 'dikorek', ia memberi implikasi kepada pencarum di kemudian hari," katanya.

Kata Herley, situasi berbeza dengan pengeluaran caruman KWSP menerusi i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini. 

Ia adalah keperluan kerana ramai terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Walaupun ketika itu saya tiada keperluan mendesak,  saya turut ambil peluang melakukan tiga pengeluaran khas KWSP untuk membayar dan menyusun semula tanggungan hutang rumah.

"Ia sebagai persediaan berdepan dengan kenaikan kadar faedah pinjaman yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) sepanjang tempoh pandemik," katanya yang terkelas sebagai T20.

Menurut Herley, simpanan KWSP amat penting kepadanya yang tiada pencen bagi memastikan kelangsungan hidup selepas bersara.

"Selain  itu, saya bimbang mereka yang banyak mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP di media sosial, tidak menggunakan wang ini untuk keperluan mendesak, tetapi kepada perkara tidak sepatutnya (kehendak). 

"Pada skala besar, ini memberi kesan kepada kehidupan kita apabila mencapai usia emas," katanya.

Bagi Azlan Sharif, 42, yang terkelas sebagai M40, dia bersetuju jika kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP sekali lagi.

Katanya, tentu ia berita menggembirakan golongan M40  yang turut berdepan isu kewangan.

"Kos sara hidup tinggi, anak membesar dan bersekolah memerlukan banyak perbelanjaan.

"Wang dikeluarkan daripada caruman ini boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan, melunaskan hutang selain sebagai simpanan kecemasan," katanya.

Azlan berharap, sekiranya pengeluaran kali ini dibenarkan, peniaga dan pihak tertentu tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Manakala kakitangan awam kontrak, Muhammad Muhizsham Mohd Nuri, 33, berkata, jika tiga pengeluaran KWSP sebelum ini digunakan untuk membayar pinjaman pengajian, bagi pengeluaran akan datang, dia merancang menjadikannya simpanan tunai.

"Jika kerajaan benarkan pengeluaran KWSP contohnya RM10,000, saya hanya mengeluarkan antara RM5,000 hingga RM7,000.

"Insya-Allah, dengan izin Tuhan, Saya boleh bekerja 25 tahun lagi untuk meningkatkan semula baki simpanan caruman," katanya.

Pencarum mahu kebebasan urus sendiri wang KWSP

Jika kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), adakah wajar urusan pembayaran terus hutang kepada institusi kewangan atau agensi berkaitan diurus KWSP sendiri?

Ini kerana, ramai mendakwa mahu mengeluarkan caruman berkenaan untuk membayar hutang kepada institusi kewangan.

Peniaga, Mohd Azizi Ab Gani, 38, berkata, dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, kerajaan wajar menilai semula pengeluaran caruman KWSP buat kali terakhir.

"Saya kehilangan kerja di sebuah syarikat swasta sebelum berniaga kecil-kecilan dengan menjual aiskrim.

"Jika pengeluaran caruman KWSP kali terakhir diluluskan dan segala urusan pengeluaran diselesaikan KWSP, pada saya ia bergantung kepada individu terbabit.

"Kebanyakannya terbeban dengan komitmen bank dan kalau KWSP boleh secara terus membantu selesaikan sebahagian komitmen menggunakan wang KWSP, apa salahnya," katanya.

Namun, keadaan sekarang begitu mencabar dan dengan pengeluaran KWSP ini, Mohd Azizi berharap sebahagiannya dapat digunakan untuk membantu mengembangkan perniagaan aiskrim.

"Pada masa sama, pada pendapat saya, lebih baik sekiranya pengeluaran akaun 1 KWSP diawalkan iaitu pada umur 50 tahun," katanya.

Sementara itu, bagi Muhammad Zulkarnain, 34, dia bersetuju jika simpanan KWSP dikeluarkan untuk membantu membayar hutang dan membeli keperluan sekolah anak.

"Bagaimanapun, saya kurang bersetuju jika segala urusan pengeluaran diselesaikan KWSP kerana pencarum bukan saja mempunyai hutang dengan bank, tetapi juga ada berhutang dengan kawan dan saudara mara.

"Tidak sesuai pengeluaran wang diuruskan KWSP dan pasti pencarum lebih tahu apa terbaik untuk mereka termasuk di mana wang terbabit digunakan," katanya.

Bagi pemandu lori, Hayadi Mohd Nasir, 51, dia tidak bersetuju sekiranya segala urusan pengeluaran simpanan diselesaikan KWSP.

"Apabila berusia 50-an, sukar untuk saya dapat kerja tetap, malah sekarang saya bekerja sambilan sebagai pemandu lori.

"Saya lihat tiada keperluan KWSP menguruskan segala hutang piutang jika simpanan pencarum dibenarkan untuk keluar.

"Bagi hak kepada pencarum menguruskannya dan perlu diingat, wang terbabit bukan saja dapat langsaikan hutang kecil malah sebagai simpanan kecemasan terutama buat individu seperti saya yang tiada pekerjaan tetap," katanya.

Undi setuju lebih dominan

Seramai 7,200 menyertai tinjauan pendapat di Facebook Harian Metro berkaitan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan majoritinya mahu kerajaan memberi kebenaran pengeluaran.

Soalan dikemukakan ialah - Pencarum KWSP yang memiliki caruman lebih daripada RM50,000 di dalam Akaun 1 KWSP sepatutnya dibenarkan membuat pengeluaran maksimum 10 peratus.

Hasilnya, 5,800 (81 peratus) setuju supaya kebenaran pengeluaran caruman diberikan manakala 1,400 (19 peratus) pula menyatakan sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 7:55 AM