TAK ambil mudah galas tugas pengacara utama di pentas Immortal Songs.  FOTO: Mohd Fadli Hamzah
TAK ambil mudah galas tugas pengacara utama di pentas Immortal Songs. FOTO: Mohd Fadli Hamzah
Norhayati Nordin

MESKIPUN sudah memiliki pengalaman dalam pengacaraan, namun Ain Edruce, 29, enggan mendabik dada dan mudah berasa selesa.

Bagi wanita yang turut aktif dalam lakonan ini, dia sentiasa ingin memastikan hasil kerjanya terbaik dalam setiap tugas pengacaraan digalas.

Terbaharu, Ain atau nama sebenar Nurulain Edruce akan muncul sebagai pengacara utama di pentas program Immortal Songs di TV3.

Program realiti TV diadaptasi daripada Korea Selatan ini mula disiarkan Ahad ini, jam 9 malam dan ia diakui memberi cabaran besar buat Ain.

Berbicara mengenai tanggungjawabnya, pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini tanpa berselindung memaklumkan dia sangat gementar.

"Sebaik mendapat tawaran daripada pihak TV3 untuk menjadi pengacara, saya seronok, tetapi tertekan kerana beraksi sendirian di pentas utama.

"Walaupun pernah mengacara beberapa program TV, namun tugas sebagai pengacara utama di pentas Immortal Songs tak boleh diambil mudah.

"Apatah lagi, ia percubaan kali pertama saya. Justeru, bagi saya cabaran perlu dihadapi begitu besar, tetapi ini rezeki di atas kepercayaan diberikan," katanya.

Menurut Ain, biarpun menyedari dia perlu membuat persediaan rapi selaku pengacara, tetapi nekad utamanya membuktikan yang terbaik.

"Apabila diteliti, saya perlu lebih berfikiran positif kerana kepercayaan orang tidak mudah diperoleh. Oleh itu, orang sedia beri peluang kerana mereka yakin.

"Mula-mula terbabit dengan rakaman Immortal Songs, saya bimbang juga. Tetapi, selepas dapat habiskan rakaman episod pertama, saya dah dapat rentak.

"Malah, menariknya saya banyak mendapat bantuan tunjuk ajar daripada produksi. Bahkan, saya selalu berbincang dengan penerbit," katanya.

Berbicara juga mengenai minggu paling mencabar buatnya, Ain berkata, ketika bintang legenda diundang ialah komposer berkaliber, Fauzi Marzuki.

"Sebagai komposer berpengalaman, abang Fauzi semestinya sangat teliti pada lagunya yang digubah semula oleh barisan penyanyi bertanding.

"Jadi, bagi memastikan suasana tetap ceria dan tidak begitu 'panas' dengan kritikan, saya perlu bijak untuk mengekalkan keseimbangan.

"Abang Fauzi, pada saya orangnya serius. Jadi apabila dia buat kelakar, saya terfikir mahu ketawa ataupun tidak. Tapi, saya ikut saja gerak hati," katanya.

BAKAL membintangi satu drama pada September ini.  FOTO: Mohd Fadli Hamzah
BAKAL membintangi satu drama pada September ini. FOTO: Mohd Fadli Hamzah

Menurut Ain, jika dia sudah berdebar menghadapi Fauzi pastinya cabaran lebih besar dan tekanan yang hebat dirasakan penyanyi bertanding.

Selain Fauzi karyawan legenda lain terbabit dalam Immortal Songs ialah Datuk Jeffrydin, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk M Nasir, Ella, Fauziah Latiff dan Ning Baizura.

Manakala, barisan penyanyi pula seramai 42 orang antaranya Hael Husaini, Ernie Zakri, Syamel, Stacy, Aman Aziz, De Fam, Amir Masdi, Naim Daniel dan ramai lagi.

Sehubungan itu, dua selebriti iaitu Amy Mastura dan Fad Boceya akan bertindak sebagai pengacara di belakang pentas dalam program itu.

Beri tumpuan mengacara

Mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan, Amirul Hafiz Mustaffa, 28, pada 13 Disember tahun lalu, Ain mengakui kurang masa dengan suami.

Sejak Julai lalu katanya, jadual kerja agak padat menyebabkan dia pulang rumah lewat pagi. Jadi, Ain bercadang memperlahankan kerjaya.

"Demi memastikan ada masa dengan suami, saya terfikir mahu memberi tumpuan kepada pengacaraan saja buat seketika walaupun Amirul memahami.

"Sebagai isteri, saya perlu juga ada masa menguruskan kerja rumah dan itu yang dapat dilakukan baru-baru ini. Saya berasa amat puas.

"Dapat mengemas rumah dan mencuci pakaian kami, ia cukup menenangkan jiwa. Nampaklah, peranan saya sebagai isteri yang mengurus rumah tangga," katanya.

Menurut Ain, rumah tangga yang baharu dibina memerlukan kerjasama dua hala suami dan isteri. Itu yang cuba dilakukannya bersama suami tersayang.

Berbicara juga mengenai cahaya mata, Ain berkata, buat masa sekarang dia dan suami belum ada rezeki. Katanya, biar Allah tentukan.

"Bagi saya dan suami, kami tidak berasa satu tekanan meskipun ada sanak saudara yang bertanya. Selalunya kami jawab belum rezeki.

"Apatah lagi, saya sangat sibuk dengan kerja sekarang. Jadi, soal anak itu kami sentiasa yakin Allah akan beri apabila tiba masanya," katanya.

engenai projek kerja baharu, Ain memaklumkan dia terbabit mengacara program di Astro Warna dan Hurr TV, termasuk membintangi satu drama pada September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 6:00 AM