AZMI ZAINAL
AZMI ZAINAL
Norhayati Nordin

KETUA Pegawai Operasi dan Pemasaran Farm Fresh Sdn Bhd, Azmi Zainal, 54, mengakui dia tidak terfikir hendak merakamkan lagu dan mencuba nasib sebagai penyanyi.

Azmi atau lebih mesra dengan panggilan 'Bos Susu', kini sering muncul dalam program hiburan di TV kerana Farm Fresh bertindak sebagai penaja utama, ditemui baru-baru ini, berkata dia seorang yang sentiasa sedar diri.

"Kadang-kadang dalam hidup ini, kita kena tahu, siapa kita. Macam saya ini, orang korporat dalam bisnes yang jual susu dan jaga lembu.

"Malah, kita pun tahu suara tak sedap. Jadi, suara kalau dah tak sedap dan beriya-iya macam mana pun nak nyanyi, tetap tak sedap. Pergi kelas vokal pun tak sedap juga.

"Jadi, kena sedar diri. Suara dah tak sedap, maka tak payah nyanyilah, aktif urus bisnes saja sudah. Malah, dapat jadi penaja program menyanyi di TV pun lagi bagus," katanya.

Menurutnya, dia memang tidak pernah memikirkan, temasuk menyimpan hasrat mahu jadi penyanyi. Katanya, cukuplah dia bertindak sebagai penaja sahaja.

"Kalau rasa, suara saya sedap dah lama jadi penyanyi. Bukan sekarang, apabila aktif sebagai penaja program hiburan, baru nak nyanyi. Saya memang tak fkir nak menyanyi pun.

"Saya mewakili Farm Fresh menaja program TV sebagai salah satu usaha memberi hiburan kepada pelanggan kami yang banyak memberikan sokongan selama ini," katannya.

Malam ini, Azmi akan muncul berganding dengan Amy Mastura dan Fad Bocey yang beraksi sebagai pengacara belakang pentas di dalam program baharu TV3, Immortal Songs, jam 9 malam, dihoskan, Ain Edruce.

Program hiburan diadaptasi dari Korea Selatan itu menampilkan 42 penyanyi berentap memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu 'malar segar" daripada 7 lagenda seni tanah air selama tujuh minggu.

Justeru, antara lagenda seni dipilih ialah Datuk Jeffrydin, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk M Nasir, Fauzi Marzuki, Ella, Fauziah Latiff dan Ning Baizura.

Manakala, barisan penyanyi generasi baharu yang bertanding pula seperti Hael Husaini, Wany Hasrita, Ernie Zakri, Syamil, Stacy, De Fam, Naim Daniel, Amir Masdi, Aman Aziz dan ramai lagi.

Menurut Azmi, pembabitannya muncul di belakang pentas dalam Immortal Songs, banyak memberi peluang dia belajar mengenai genre muzik, kenal penyanyi baharu dan latar belakang mereka.

Katanya, dia cukup tahu mengenai lagu- lagu lama. Namun, program Immortal Songs ini baginya bukan sekadar pertandingan nyanyian, tetapi lebih kepada kreativiti cabaran mengubah lagu terutama pada kalangan penyanyi masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 8:48 PM