Ain, Uyaina akui terlalu seronok bekerja hingga ambil ringan mengenai cuti.
Ain, Uyaina akui terlalu seronok bekerja hingga ambil ringan mengenai cuti.
Norhayati Nordin


MESKIPUN permulaan langkah mereka di arena pengacaraan, siapa sangka Ain Edruce dan Uyaina Arshad mampu mencipta nama sebagai pelakon.

Ain tampil dalam drama Kekasih Paksa Rela dan 30 Pesanan Suara manakala Uyaina pula membintangi drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Curi-Curi Cinta.

Bersua dua figura cantik ini, mereka mengakui tidak menduga percubaan menceburi bidang lakonan menjadi dan diterima baik penonton.

Ain, 28, berkata, dia suka mencuba apatah lagi jika sesuatu perkara itu disukainya sejak kecil.

“Apa yang pasti, saya tak sangka lakonan dipersembahkan berjaya menarik perhatian penonton meskipun pengalaman masih baharu.

“Banyak yang perlu saya pelajari dalam lakonan, namun amat berterima kasih dengan sokongan positif penonton,” katanya.

Kata Ain atau nama sebenar Nurulain Edruce, dia sentiasa berusaha memberikan persembahan terbaik atas dasar tanggungjawab.

Berbicara mengenai sambutan Aidilfitri, pelakon sitkom Jawatan Kuasa Kampung Kalut (JKK) di TV3 itu memberitahu ia dirai secara sederhana.

Ini kerana Ain perlu fokus dengan persiapan majlis pertunangannya dengan ahli perniagaan dan juga pelumba kereta, Amirul Hafiz, 26.

Kata Ain, majlis hari istimewanya itu akan berlangsung pada 22 Jun ini manakala pernikahan dijangka sekitar Disember nanti.

Bagi Uyaina, 26, pula, pembabitan dalam lakonan kerana minat termasuk enggan melepaskan peluang yang datang kepadanya.

“Saya suka bekerja, ditambah lagi apabila menceburi bidang yang disukai. Pastinya saya akan bekerja dengan gigih.

“Apabila sudah dapat kerjaya pilihan saya akan berikan tumpuan penuh. Hinggakan saya terlepas pandang penjagaan kesihatan.

“Apabila disahkan mempunyai masalah jantung oleh doktor, ia satu tamparan besar kerana selama ini saya berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Namun begitu, Uyaina menerima takdir hidupnya itu dengan hati yang terbuka kerana yakin perancangan Allah SWT itu adalah terbaik.

Mengulas sambutan Aidilfitri, Uyaina berkata apa yang paling menyeronokkan adalah peluang berkumpul bersama keluarga.

Ujar anak bongsu daripada empat beradik ini, Aidilfitri kali ini istimewa kerana dirai bersama dua anak saudara baharu.

“Saya sukakan bayi. Jadi, kehadiran dua anak kecil ini sangat bermakna kerana fokus sudah tentu kepada mereka.

“Apatah lagi, sepanjang Ramadan lalu saya berada di Indonesia kerana terikat dengan tugas mengacara program TV di sana. Jadi, kurang masa bersama keluarga,” katanya.

Pemilik nama sebenar Shaidatul Naseha Uyaina Arshad itu memberitahu mulai Jun ini juga dia akan bercuti selama sebulan untuk berehat dan hanya mengacarakan program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3.

Nikmatnya Bercuti

Aktiviti bercuti sangat penting buat wanita berkerjaya. Ia diakui oleh Ain dan Uyaina yang berkongsi kealpaan mereka.

Selama aktif dalam karier seni, sama ada Ain mahu pun Uyaina komited dengan kerja hinga ‘lupa’ bercuti.

Ain memberitahu dia mula meluangkan masa bercuti dengan rakan di Singapura pada usia 27 tahun.

“Baru saya sedar, sudah lama fokus bekerja hingga lupa untuk bercuti bagi merehatkan minda dan badan.

“Sedangkan sebagai manusia kita kena ada rehat yang cukup,” katanya.

Menurut Ain, percutian singkat di Singapura itu sangat bermakna kerana dapat melepaskan segala tekanan kerja.

Sependapat dengan Ain, Uyaina juga mengakui terlalu seronok bekerja hingga memandang ringan soal bercuti.

“Apabila ada masalah kesihatan baru saya sedar betapa pentingnya dapat rehat yang cukup.

“Terus terang, saya bersetuju dengan Ain yang menyuarakan betapa pentingnya percutian bagi wanita berkerjaya,”

katanya.

Sebab itulah dia akur dengan nasihat doktor supaya memperlahankan karier dan bercuti seketika. Hanya dengan cara itu dia dapat berehat dan tidak perlu memikirkan soal kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 6:00 AM