PKRC MAEPS Serdang.
PKRC MAEPS Serdang.
Samadi Ahmad

Sepang: Polis menerima satu laporan berhubung tindakan segelintir pesakit Covid-19 dipercayai berjudi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata pihaknya menerima laporan daripada petugas polis di PKRC MAEPS Serdang yang dibuat di Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda.

Katanya, polis sudah membuka kertas enkuairi dan tiada kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut serta pemeriksaan terhadap pesakit.

"Polis telah menerima video tular berkenaan kegiatan judi yang didakwa berlaku di PKRC MAEPS, Serdang.

"Berdasarkan rakaman video itu terdapat beberapa lelaki dilihat berkumpul sambil bermain terup, namun tiada wang diletakkan sebaliknya paket makanan seperti biskut dan mi segera dijadikan sebagai barang pertaruhan," katanya ketika dihubungi.

Tindakan segelintir pesakit Covid-19 dipercayai berjudi di PKRC MAEPS Serdang itu mengundang kecaman segelintir netizen yang mendakwa PKRC ibarat mini kasino selepas beberapa rakaman video berkaitan insiden itu tular di media sosial.

Sebelum ini media melaporkan, sekumpulan pesakit Covid-19 di PKRC Sabah mengambil minuman keras secara terbuka sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Kongres Kesatuan Sekerja Kakitangan Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebelum ini dilaporkan menganggap tindakan sekumpulan individu yang dikuarantin dan dirawat di PKRC Sabah meminum minuman keras sebagai biadap dan kurang ajar seperti menghina serta tidak menghormati pengorbanan petugas barisan hadapan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 4:45 PM