Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap-siaga mengaktifkan semula semua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di seluruh negara jika kes aktif terus mencatat peningkatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia akan membabitkan 36 pusat kuarantin dengan kapasiti 3,467 katil.

Katanya, antara fasiliti yang dijadikan pusat kuarantin dan rawatan ialah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di seluruh negara, selain di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) untuk pesakit di Lembah Klang.

"Sekiranya ada pertambahan kes aktif yang drastik, kementerian akan berbincang dengan ILKKM seluruh negara untuk membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 bagi menempatkan pesakit berisiko rendah.

"Setakat ini, 36 ILKKM bersedia diaktifkan kerana persediaan sudah dibuat berikutan pengalaman kita ketika gelombang pertama dan kedua.

"Kita juga ada 118 hospital di seluruh negara dengan 40 daripadanya dijadikan hospital Covid-19. Baki hospital berkenaan akan turut dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan jika angka melonjak luar biasa, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup sesi Town Hall Pembudayaan Norma Bahari Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan COVID-19 di Desaru di sini, hari ini.

Gambar fail, Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 di MAEPS Serdang. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 di MAEPS Serdang. FOTO Arkib NSTP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 1:43 PM