Balqis Jazimah Zahari

LEPAS makan mesti rindu nak makan lagi, bersesuaian dengan namanya 'Apam Balik Benci Tapi Rindu' yang dijual di sebuah gerai di Jalan Baginda, Manjoi di Ipoh.

Selain daripada namanya yang unik, kepuasan inti dan kelainan rasa yang dimiliki juga membuatkan pelanggan akan tercari-cari dan juga datang semula untuk membeli juadah berkenaan.

Pemilik gerai, Jamal Arif Yang Chek, 72, atau lebih mesra dipanggil Pak Arip berkata, dia secara spontan menamakan apam balik berkenaan dan nama itu kemudiannya terus melekat di bibir pelanggan yang sering berkunjung ke gerainya.

"Seperti orang yang bercinta dan berkahwin, walau kadang-kadang benci mesti tetap berasa rindu pada pasangannya.

"Begitu juga seperti pelanggan yang makan kuih apam balik saya, berkali-kali makan mungkin jadi jemu tetapi apabila teringat mesti rasa rindu nak makan lagi," katanya ketika ditemui di gerainya baru-baru ini.

‘Apam Balik Benci Tapi Rindu’ diberi nama secara spontan oleh Pak Arip. Foto Balqis Jazimah Zahari
‘Apam Balik Benci Tapi Rindu’ diberi nama secara spontan oleh Pak Arip. Foto Balqis Jazimah Zahari

Pengunjung dilihat tidak putus-putus berkunjung dan Pak Arip pula tidak menang tangan menyiapkannya.

Selain itu, Pak Arip yang kelihatan begitu bersahaja berceloteh membuatkan pengunjung juga menjadi asyik dan tidak jemu menunggu sementara apam balik berkenaan siap dimasak.

Bapa kepada empat anak itu dan berasal Kampung Batu 7 Jalan Siputeh, Parit itu berkata, dia yang sudah berniaga di tapak gerai yang sama sejak lebih 30 tahun lalu mengakui tidak terlalu berkira meletakkan bahan dan sehingga kini masih menjualnya dengan harga hanya RM2 sekeping.

"Biar letak lebih asalkan pelanggan puas hati, kalau ada sesiapa yang mahu menambah banyak lagi bahan lain seperti coklat boleh membawanya dari rumah.

"Tetapi, pelanggan boleh memberitahu apa yang mereka mahukan dan kita akan berusaha mengikut citarasa mereka," katanya.

Menurutnya, dia membuka gerainya setiap hari dan mula berniaga pada 5.30 petang sehingga 8 malam.

"Sekurang-kurangnya 80 keping apam balik terjual setiap hari dan kalau pada hujung minggu pula jumlah bertambah kepada kira-kira 100 keping.

"Sudah lama saya berniaga, jadi kebanyakan mereka yang sudah biasa membeli akan terus menelefon, sesetengah pelanggan dari dekat sini dan ada juga pelanggan tetap dari jauh seperti Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, dia akan memerlukan sekurang-kurangnya 10 kilogram (kg) gula, kacang (9 kg), tepung (15 kg) dan 12 tin jagung tin.

Ditanya lanjut berkenaan resipi apam balik berkenaan, Pak Arip berkata, dia akan sentiasa memastikan bahan yang digunakan adalah baharu dan segar.

"Kacang yang digunakan mestilah hari-hari digoreng agar tidak berbau tengik, adunan dimasak tanpa minyak dan bahan-bahan yang diletakkan mesti berkualiti dan rasa sedap dimakan baru saya menjualnya.

"Jadi, memang tiada rahsia atau jampi-jampi yang saya gunakan untuk hendak membuat apam balik ini," katanya sambil berseloroh.

Sementara itu, pelanggan, Rohaizal Asiah Abd Gani, 29, berkata, dia memang kerap membeli apam balik berkenaan dan gemar dengan keunikan rasa juadah itu.

"Apam ini memang rasa lain daripada yang lain, kulit lembut dan tebal, isi banyak dan cukup rasa, dalam seminggu empat kali saya singgah membeli di sini dan kadang-kadang kalau ada keluarga dari jauh datang ke rumah juga kami akan membeli kuih apam di sini," katanya.

Seorang lagi pelanggan, Mohd Isa Zakaria, 65, berkata, dia sudah menjadi pelanggan tetap sejak gerai itu dibuka.

"Memang berbeza dan rasa puas makan sebab memang cukup dengan jagung dan kacangnya," katanya.

Pak Arip sedang menyiapkan apam balik di gerainya di Jalan Baginda, Manjoi di Ipoh. Foto Balqis Jazimah Zahari
Pak Arip sedang menyiapkan apam balik di gerainya di Jalan Baginda, Manjoi di Ipoh. Foto Balqis Jazimah Zahari

Pelanggan dari Kuala Lumpur, M Azriel Jamadin, 40, pula berkata, dia sudah mula membeli kuih apam Pak Arip sejak 2003 dan sejak itu tidak pernah ketinggalan untuk membeli kuih tradisi itu.

"Setiap kali balik ke rumah mentua saya memang sudah biasa membeli di sini, memang istimewa dan cukup dari segi rasa dan di tempat lain rasanya saya tak dapat jumpa apam yang macam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 9:00 PM