Balqis Jazimah Zahari


MAHKAMAH Sesyen Ipoh, hari ini memerintahkan S Pavithra untuk menyerahkan surat rasmi menarik balik pertuduhan terhadap suaminya M Sugu, 29, kerana mendatangkan kecederaan kepadanya.

Perintah berkenaan dikeluarkan Hakim Norashima Khalid ketika sebutan semula kes, hari ini, selepas Pavithra memohon untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan kanan isterinya dengan menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) antara 4 hingga 6 petang, 21 Julai lalu.

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Selain itu, Sugu turut didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana dia didapati memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis Tiger.

Sugu didakwa memiliki sabit sepanjang 26 inci di parkir HRPB Ipoh pada 6 petang, 21 Julai lalu.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat.

Mahkamah membenarkan tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan pada 8 September hadapan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi manakala tertuduh diwakili peguam bela S Sundarajan.

PAVITHRA (kiri) berbual dengan Sugu di luar pagar mahkamah, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
PAVITHRA (kiri) berbual dengan Sugu di luar pagar mahkamah, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Semasa prosiding berkenaan, Liyana Zawani memberitahu mahkamah terdapat permohonan daripada Pavithra untuk menarik balik pertuduhan dicederakan Sugu.

Katanya, surat menarik balik pertuduhan perlu diserah sebelum 8 September untuk dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri.

Sementara itu, Sugu kelihatan berbual dengan Pavithra yang berada di luar pagar mahkamah sebelum prosiding bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 10:58 AM