Balqis Jazimah Zahari

Kampar: Kerajaan negeri Perak sedang mengkaji keperluan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kebenaran untuk 'dine in' di restoran di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia sebagai langkah bersiap sedia memastikan aspek keselamatan terjamin bagi pelanggan dan juga pengusaha restoran.

"Pada saat dan ketika ini, SOP membenarkan pelanggan untuk dine in apabila lengkap dua dos vaksin tetapi tidak mensyaratkan operator restoran untuk lengkap dua dos vaksin.

"Kita menasihati mana-mana operator restoran yang mana saya lihat ada yang tidak membuka (ruang dine in) kerana tidak mempunyai pekerja yang divaksinasi untuk mengambil langkah berhati-hati, tidak memadai hanya pelanggan sahaja yang divaksinasi, malah pekerja restoran juga harus divaksinasikan.

"Jadi, kerajaan negeri akan mengkaji sama ada untuk memperketatkan SOP (dine in) mengikut kehendak dan keadaan semasa Covid-19 di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang di hadapan pintu masuk Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di sini, hari ini.

NOLEE Ashilin. FOTO Balqis Jazimah Zahari
NOLEE Ashilin. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Nolee Ashilin berkata, ia juga menjadi satu risiko besar apabila terdapat pemilik restoran termasuk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menolak untuk divaksinasi.

"Walaupun kita ada kelonggaran dalam SOP tetapi tidak bermaksud kita mengambil kelonggaran itu tanpa rasa tanggungjawab, pelanggan juga perlu berhati-hati memilih lokasi yang dikunjungi.

"Kita akan menggesa mereka untuk mendapatkan vaksin, kita ada program mobilisasi vaksin komuniti (MOVAK) untuk vaksinasi mana-mana pekerja yang belum divaksinasi.

"Tetapi saya difahamkan program itu belum bermula di Perak, Insya-Allah kita akan mengumumkannya secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 2:06 PM