Azrul Affandi Sobry


SEBUT pasal Kampung Sungai Lui, semua tahu ia adalah lokaliti kedua yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) pada 30 Mac lalu selepas ratusan pelajar tahfiz di situ dikesan positif Covid-19.

Nama kampung di ceruk pedalaman daerah Hulu Langat itu tiba-tiba popular dan disebut dalam setiap sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menjadi tumpuan media dari pelbagai agensi berita.

Sepanjang PKPD, kawasan kampung bermula dari Batu 21 hingga Batu 24 itu sunyi dari sebarang pergerakan, namun kini ramai tidak tahu ia kembali meriah dan dikunjungi ramai 'hantu durian' dari seluruh negara terutama Lembah Klang kerana keunikan dan kualiti 'raja buah' di situ.

Ramai orang selama ini asyik memuji keenakan rasa durian dari Balik Pulau, Raub dan Batu Kurau, namun mereka tidak sedar bahawa kualiti durian kampung di Kampung Sungai Lui setanding dengan durian kahwin berkualiti tinggi yang dijual puluhan ringgit sekilogram.

DURIAN Kampung Sungai Lui. FOTO Azrul Affandi Sobry
DURIAN Kampung Sungai Lui. FOTO Azrul Affandi Sobry

Wartawan Harian Metro pada mulanya agak skeptikal dengan cerita itu kerana sering disogok dengan keenakan rasa durian Musang King, Udang Merah dan pelbagai jenis durian klon lain.

Namun, apabila berkunjung sendiri ke kampung itu dan merasai beberapa biji durian yang disajikan pengusaha dusun di situ, Mohamad Alias Ali, salah tanggap itu ditepis jauh kerana nyata rasanya lebih unik dan 'mengancam'.

Apa tidaknya, dalam enam biji durian yang dibuka untuk dirasai, kesemuanya mempunyai pelbagai rasa berbeza dan tidak satu pun mengecewakan selain kelembutan isinya yang membuatkan mulut tidak henti mahu terus menikmatinya.

DURIAN Kampung Sungai Lui setanding durian klon dari tempat lain. FOTO Azrul Affandi Sobry
DURIAN Kampung Sungai Lui setanding durian klon dari tempat lain. FOTO Azrul Affandi Sobry

Benar seperti apa yang dikata oleh Mohamad Alias, jika durian klon, kita sudah boleh mengagak apa rasa yang akan dirasa, namun durian Kampung Sungai Lui berbeza, ada yang pahit lemak, pahit manis, lemak berkrim dan ada yang seakan kopi.

"Durian Kampung Sungai Lui memang berbeza dengan durian kampung lain kerana ia bukan dari pokok baru. Kebanyakan pokok di sini sudah berusia lebih 100 tahun dan tumbuh di kaki banjaran.

"Itu belum lagi cerita mengenai durian hutan yang menjadi buruan orang Cina. Orang Melayu tak suka tapi nilainya tinggi untuk orang Cina dan ia sama seperti durian hutan di Tanah Tinggi Cameron.

MOHAMAD Alias menunjukkan durian hutan yang juga popular di Kampung Sungai Lui. FOTO Azrul Affandi Sobry
MOHAMAD Alias menunjukkan durian hutan yang juga popular di Kampung Sungai Lui. FOTO Azrul Affandi Sobry

"Dalam selonggok durian, boleh saya katakan hampir setiap satunya berbeza rasa. Saya jamin siapa yang cuba durian Sungai Lui akan terus mencari durian dari kampung ini," kata Mohamad Ali sambil menunjukkan cara-cara mengenali durian yang baik.

Antara petua diajarnya untuk memilih durian ialah melihat kepada tangkainya dengan memastikan ia masih elok.

MOHAMAD Alias menunjukkan cara menghidu durian untuk memastikan kualitinya. FOTO Azrul Affandi Sobry
MOHAMAD Alias menunjukkan cara menghidu durian untuk memastikan kualitinya. FOTO Azrul Affandi Sobry

"Angkat durian dengan sekali henjut dan jika ia macam terasa terlalu berat ke bawah, ia kurang elok. Lalukan belakang tangan pada durinya dan jika bunyinya terlalu kuat juga, ia kurang elok.

"Kemudian goncang dan cuba dengar. Jika ada bunyi isinya bergerak, ia memandakan durian itu sudah masak elok. Letak tapak tangan di atas kulit durian selama lima saat dan hidu dari atas tangan itu dengan nafas yang panjang. Bau yang enak, maka eloklah isinya," ceritanya lagi.

Wartawan dibawa ke dusun durian miliknya tidak jauh dari pusat pengumpulan ladang Kampung Sungai Lui dan satu lagi bukti jelas kenapa durian di kampung itu sangat berkualiti tinggi.

Cuacanya yang sejuk dan berada di kaki banjaran mengesahkan kenapa durian di situ setanding durian lain yang selama ini menjadi sebutan.

WARTAWAN tidak melepaskan peluang merasai sendiri keenakan durian Kampung Sungai Lui. FOTO Azrul Affandi Sobry
WARTAWAN tidak melepaskan peluang merasai sendiri keenakan durian Kampung Sungai Lui. FOTO Azrul Affandi Sobry

"Durian di sini bukan durian klon. Ini memang durian kampung yang diusahakan secara tradisional tanpa ada bahan kimia. Tiada kategori atau nama khas untuk durian di sini, semuanya sama.

"Jika tiada nama, saya nak gelar durian di sini durian lockdown," spontan wartawan bergurau dan disambut anggukkan Mohamad Alias seperti bersetuju.

Bagi seorang guru, Mohamad Tazri Mohd Ali yang menjadi antara pelanggan tetap di situ, keunikan rasa yang pelbagai durian Kampung Sungai Lui menjadi sebab utama dia tidak memilih durian dari tempat lain.

"Cubalah rasa… Saya berani kata kualiti durian di sini susah untuk disangkal dan saya tidak perlu keluar jauh ke negeri lain atau bayar mahal untuk durian klon kerana durian kampung ini lebih unik rasanya," katanya.

Memang harga durian Kampung Sungai Lui sedikit mahal berbanding durian kampung lain, tetapi dengan harga RM12 sekilogram, rasa setanding durian klon yang bernilai puluhan ringgit sekilogram tidak akan mengecewakan sesiapa. Tak cuba tak tahu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:41 PM
KAEDAH memilih durian yang elok ialah dengan melihat tangkainya untuk memastikan ia segar. FOTO Azrul Affandi Sobry
KAEDAH memilih durian yang elok ialah dengan melihat tangkainya untuk memastikan ia segar. FOTO Azrul Affandi Sobry