Azrul Affandi Sobry


Semenyih: Semenyih Fighter Studio di bawah Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) berjaya diwujudkan dengan bantuan sepenuhnya ibu bapa ahli silat.

Pada awalnya gelanggang silat PSSPGM cawangan Semenyih hanya berlatih di padang belakang Surau Al-Mukhlisin Taman Pelangi Semenyih 2, namun menyedari anak-anak memerlukan sentuhan lebih sistematik, seramai 12 ibu bapa menawarkan diri menaja kos pengurusan dan sewaan bangunan untuk mewujudkan studio latihan.

Ketua Gurulatih PSSPGM Selangor, Muhammad Firdaus Ismail Mahmad Fuad berkata, semua jurulatih silat mengimpikan memiliki studio tetapi kekangan kewangan menjadi halangan utama.

"Kami bermula dengan membeli lantai latihan dengan modal sendiri. Namun, mula pening memikirkan di mana pula untuk menggunakan lantai getah sebesar itu.

"Masalah kedua ialah pelatih silat di sini sering menyertai pertandingan tapi tidak pernah ada peluang berlatih dengan kemudahan yang selesa.

"Apabila hasrat membuka studio latihan diajukan dalam mesyuarat bersama ibu bapa ahli, ramai pula menawarkan diri membantu bayaran bulanan sewa dan kos pengurusan. Dalam masa 10 hari saja selepas itu, studio ini siap sepenuhnya," katanya.

Studio yang dibuka secara rasmi hari ini disempurnakan yang Presiden PSSPGM, Tuah Jani Abdul Majid bukan saja untuk latihan kepada ahli PSSPGM tetapi bakal menjadi pusat pembangunan atlet serta program lain termasuk seni bela diri wanita, kelas kecergasan dan aktiviti budaya lain.

PRESIDEN PSSPGM, Tuah Jani Abdul Majid. FOTO  Azrul Affandi Sobry
PRESIDEN PSSPGM, Tuah Jani Abdul Majid. FOTO Azrul Affandi Sobry

Sementara itu, sebelum upacara pembukaan, pada sebelah paginya turut diadakan bengkel khas bersama ikon pesilat negara, Al Jufferi Jamari yang memfokuskan latihan ala juara dunia, dihadiri lebih 80 pesilat dan jurulatih dari seluruh Selangor.

Al-Jufferi berkata, pembukaan studio itu mampu melahirkan atlit berkualiti selain memartabatkan silat ke satu tahap yang dipandang tinggi.

Malah, katanya, studio itu begitu lengkap untuk menyediakan pesilat dengan latihan sempurna setara studio bela diri profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 5:39 PM