HENRY Golding (kiri). Samantha Katie James (kanan). FOTO NSTP
HENRY Golding (kiri). Samantha Katie James (kanan). FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON kelahiran Malaysia yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Henry Golding menempelak tindakan pemenang Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katie James, 25, yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman mengenai rusuhan yang sedang berlaku di negara itu.

Henry berkata, kenyataan Samantha itu tidak sensitif selain menyifatkan bekas ratu cantik Malaysia itu kurang memahami keadaan sebenar yang menghimpit masyarakat kulit hitam di AS.

"Biasanya saya cuba bertenang apabila berdepan situasi begini, tapi apabila baca komen anda, ia benar-benar menimbulkan kemarahan saya.

"Anda tidak faham isu yang perlu dihadapi orang kulit hitam dari hari ke hari di AS. Anda perlu dikritik kerana bercakap mengenai isu perkauman seperti itu," katanya.

Henry yang juga pelakon filem Crazy Rich Asians menerusi status di Instagram Stories berkata, kebanyakan orang mungkin tidak memahami apa dilalui golongan itu di AS.

"Namun, satu perkara boleh dilakukan adalah dengan tolong bersuara. Kita perlu menjadikan Malaysia terus maju bermula dengan diri kita sendiri. Sudah tentu saya tak akan berdiam diri dengan kenyataan daripada seorang selebriti 'tak signifikan' di Malaysia. Saya tak akan membiarkan orang lain salah faham apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Terdahulu, Samantha melontarkan komen bahawa mereka yang melakukan rusuhan tidak berjaya mencapai matlamat melalui apa yang disifatkannya sebagai keganasan.

Menurut Samantha, rusuhan dan bantahan masyarakat kulit hitam menandakan golongan kulit putih 'telah menang'.

Dalam kenyataan sama, dia juga berkata masyarakat kulit hitam sepatutnya menerima kelahiran mereka sebagai cabaran.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 5:04 PM