ALLAHYARHAM Dr Muhammad Uthman contoh pendakwah berkarisma.
ALLAHYARHAM Dr Muhammad Uthman contoh pendakwah berkarisma.
Muhammad Saufi Hassan


PERBANYAKKAN zikir dan berusaha untuk solat berjemaah setiap waktu.

Itu antara pesanan tokoh pemikir Islam terkenal negara iaitu Allahyarham Datuk Dr Muhammad Uthman El-Muhammady yang melihat dua amalan berkenaan menjadi kekuatan seseorang Muslim untuk terus berdakwah.

Muhammad Uthman atau lebih dikenali sebagai Dr Uthman El-Muhammady adalah contoh pendakwah berkarisma memandangkan beliau bukan sekadar mahir dalam Bahasa Melayu dan Arab, malah sangat fasih dalam Bahasa Inggeris.

Allahyarham juga lantang mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertunjangkan kepada akidah manhaj Imam Abu Hassan Asy'ari dan Imam al-Maturidi.

DR Ahmad sanjung keperibadian bapanya dalam mendidik anak.
DR Ahmad sanjung keperibadian bapanya dalam mendidik anak.

Manakala dalam Fiqh, Allahyarham mengikut mazhab Imam al-Syafie serta meraikan mazhab-mazhab empat yang lain dan keilmuwan tasawuf muktabar.

Allahyarham pernah dianugerahi Tokoh Maal Hijrah 2005 dan antara tokoh pemikir Islam di negara ini yang sangat berkarisma kerana mampu memberi hujah dan menghuraikan isu semasa dengan begitu baik.

Anak kepada tokoh ilmuwan berkenaan, Dr Ahmad Muhammad Uthman El-Muhammady berkata, arwah bapanya akan membaca sekurang-kurangnya dua kali surah Yasin setiap hari dan arwah berzikir 'Ya Latiff' dengan jumlah yang menjangkau ribuan kali setiap hari.

Beliau pernah bertanya kepada arwah bapanya berhubung keupayaan zikir dalam kehidupan seseorang dan bapanya menjawab bahawa ia adalah sumber kekuatan seseorang.

"Saya pernah bertanya berhubung amalan zikir yang dilakukan setiap hari dan arwah ayah menjawab, walaupun tiada kajian saintifik berhubung zikir memberi kesan kepada tubuh manusia namun orang yang kerap berzikir akan merasai kelainannya.


"Kita akan dapat kekuatan luar biasa dan Nabi Muhammad SAW pun selalu beristighfar apatah kita sebagai umat Baginda yang biasa, pasti perlu lebih berzikir dan mengingati Allah SWT," katanya.

Menurutnya, bapanya juga pernah ditawarkan melanjutkan pengajian di Universiti Harvard namun menolaknya dan menyambung pengajian di universiti tempatan.

Menceritakan keperibadian arwah bapanya, Ahmad berkata, bapanya sentiasa bersikap tenang dalam sesuatu perkara dan tegas jika membabitkan isu tertentu malah terbuka membincangkan sebarang tajuk bersama anak-anaknya.

"Saya suka bertanya kepada arwah dulu. Di meja makan saya sering bertanya daripada isu sosial sehingga kepada permasalahan agama. Selalunya selepas makan malam kami akan duduk berbual dan berbincang secara ilmiah.

"Keadaan ini sebenarnya memberi kesan kepada saya. Tatkala ayah meninggal dunia, saya kehilangan tempat rujukan dan panduan memandangkan sebelum itu dalam setiap perkara saya akan merujuk kepadanya.


"Pernah juga ada wartawan bertanya kepada arwah ayah berhubung saya, ayah menjawab Ahmad (saya) mempunyai pemikiran yang sama dengannya namun berbeza daripada pemakaian iaitu saya dengan pemakaian seperti kot dan tali leher manakala arwah ayah memakai jubah dan serban," katanya.

Beliau berkata, keupayaan bapanya dalam menghurai isu semasa banyak berasaskan kepada bahan bacaannya kerana arwah gemar membaca sama ada bahan tempatan atau majalah akademik luar negara.

Katanya, pemergian arwah bapanya sememangnya kehilangan besar buat keluarganya terutamanya dirinya sendiri apabila tiada lagi tempat rujukan serta individu untuk berbincang berhubung semua perkara.


RINGKASAN BIODATA DATUK DR MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY

Latar Belakang

Dilahirkan pada 9 Februari 1943 di Kampung Telok, Panji, Kota Bharu, Kelantan.

Pendidikan

Mendapatkan pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid dan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya(UM).

Penghormatan

1.Pernah dilantik menjawat beberapa jawatan penting antaranya:

2.Menyertai rombongan Perdana Menteri Malaysia ke Rom menemui Pope pada 2002.

3.Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

4.Ahli Majlis Pemegang Amanah Yayasan Karyawan.

5.Ahli Panel Penasihat Nadwah Persuratan Islam Malaysia (Nafis).

6.Felo Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

7.Felo Utama Akademik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan Islam (Istac).

8.Editor pakar bagi menyemak terjemahan Inggeris Tafsir Pimpinan al- Rahman, Jabatan Kemajuan Islam(Jakim).

Penulisan

Pernah menulis lebih 200 bahan ilmiah termasuk buku, artikel dan terjemahan. Kebanyakan tulisan Allahyarham menyentuh aspek akhlak, ilmu tasawuf dan peradaban Islam.

Dr Muhammad Uthman El-Muhammady pernah menulis lebih 50 bahan berbahasa Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 4:01 PM