INTAN Mardhiah dibantu ibu dan adiknya mencantikkan pusara arwah bapanya. FOTO Ihsan Intan Mardhiah Mohd Tajudin
INTAN Mardhiah dibantu ibu dan adiknya mencantikkan pusara arwah bapanya. FOTO Ihsan Intan Mardhiah Mohd Tajudin
Redzuan Muharam


Seremban: Meskipun sudah hampir lima bulan berlalu, memori Intan Mardhiah terhadap bapanya, Mohd Tajudin Abd Rahman tidak pernah luput.

Buktinya, Intan Mardhiah, 28, berusaha membina 'rumah baharu' bapanya di Tanah Perkuburan Islam Batu 6 Paroi, di sini dengan meletakkan kepok, batu nisan dan rumput karpet.

Dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu ibu, Rahimah Idris, 57, abang, Ahmed Izzatullah, 34, adik, Rabitah Hani dan suaminya, Muhammad Al Afif Kamaruzaman, 28,

Menurut Intan Mardhiah, kerja membina dan mencantikkan pusara bapanya itu dilakukan pada 8 Julai lalu iaitu sehari selepas ibunya tamat edah.

"Ayah meninggal dunia pada 25 Februari lalu akibat barah paru-paru dan ketika hayatnya, ayah pernah berpesan supaya tidak buat sebarang binaan di atas pusaranya.

"Mengenangkan amanat ayah, emak cadangkan untuk letak batu nisan saja sebagai tanda selain rumput karpet dan kepok.

"Emak yang paling bersungguh nak buat buat sendiri 'rumah' ayah tanpa upah orang luar. Jadi, kami adik-beradik akur dan cuba bantu bermula dengan mengorek serta meratakan tanah hingga meletakkan rumput karpet juga batu nisan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

GAMBAR kenangan Intan Mardhiah bersama arwah bapanya. FOTO Ihsan Intan Mardhiah Mohd Tajudin
GAMBAR kenangan Intan Mardhiah bersama arwah bapanya. FOTO Ihsan Intan Mardhiah Mohd Tajudin

Menurut Intan Mardhiah, kerja mencantikkan pusara itu bermula 1 tengah hari dan siap kira-kira 3.30 petang.

Katanya, kerja berjalan lancar dan menjadi seperti dirancang hasil kerjasama semua yang terbabit.

"Alhamdulillah, cuaca baik pada hari itu dan kami dapat siapkan kerja sebelum masuk waktu Asar.

"Sebagai anak, saya gembira kerana dapat emak dan terus hadiahkan sesuatu buat ayah walaupun dia sudah tiada di dunia ini," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Intan Mardhiah berkata, niatnya memuat naik video di platform berkenaan sekadar untuk menyimpannya sebagai kenangan.

"Saya saja nak berkongsi sebenarnya tetapi tak sangka ramai menonton video itu dan mendoakan ayah.

"Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya sangat menghargainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 8:00 PM