Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Isi kandungan 10 buku dan satu majalah yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, semalam, mempunyai pelbagai tafsiran mengenai konsep jihad yang bertentangan dan terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Buku itu adalah Uzalah Jalan Terakhir, Jihad Jalan Khas Kelompok Yang Akhlak Mujahid, Ya...Mereka Memang Thaghut, Dari Usamah Kepada Para Aktivis, An-Najah Menegakkan Kalimat Allah, Menggali Tradisi Yang Hilang, Mimpi Suci Di Sebalik Jeruji Besi, The Giant Man Biography Of Mullah Umar, Senyum Terakhir Sang Mujahid, Untukmu Generasi Pejuang Pesan Cinta Al-Qaida dan majalah Jihad Mag2.

Penilaian buku dan majalah itu dikemukakan oleh pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El Muhammady.

Beliau memberi keterangan di dalam kes membabitkan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat, rakannya, Muhammad Hilmi Hasim yang didakwa terbabit dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.

Menurut Ahmad El-Muhammady, semua buku dan majalah itu diserahkan kepadanya pada 8 Mac 2013 dan dipulangkan semula berserta analisisnya kepada pegawai penyiasat Inspektor S Manivanan pada 3 Mac 2014.

Berdasarkan laporan terhadap majalah Jihad Mag2, Ahmad El-Muhammady membuat kesimpulan bahawa ia adalah bahan bacaan yang berbahaya kepada pemikiran umat Islam.

“Ia adalah majalah yang dikeluarkan oleh Ar-Rahmah Media, penerbit dan pencetak terkenal bahan yang mempunyai kaitan dengan jihad yang berpangkalan di Indonesia.

“Walaupun jihad adalah sebahagian daripada tuntutan agama apabila memenuhi syarat tertentu tetapi konsep jihad yang dibawa kelompok ini jauh menyeleweng daripada jihad sebenar yang difahami ulama muktabar dalam dunia Islam,” katanya.

Menurutnya, majalah itu membawa pemahaman baru mengenai konsep jihad apabila menggunakan justifikasi dalam pelaksanaan operasi mereka.

“Sebagai contoh analisis yang dibuat oleh majalah ini mengenai peristiwa 9/11 mendakwa adalah jihad yang betul dan sah dari segi agama walaupun mengorbankan manusia yang tidak berdosa serta tiada kaitan secara langsung dalam misi ketenteraan.

“Pandangan ini bertentangan secara langsung dengan pandangan arus perdana jihad seperti yang diketengahkan oleh Dr Yusuf Qardhawi. Pembunuhan orang tidak berdosa seperti wanita dan kanak-kanak tidak ada asas langsung dalam agama. Bahkan ia menjadikan Islam dipandang kejam dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Oleh itu, katanya, majalah itu tidak sesuai untuk dibaca orang awam terutama golongan muda yang mudah terpengaruh dalam pemikiran baru.

Sementara itu analisis berhubung buku Mimpi Suci Di Sebalik Jeruji Besi, Ahmad El-Muhammady berkata, penulis mempunyai minat mendalam dalam agama Islam, nasib umat Islam dan sedaya upaya membantu daripada ditindas oleh musuh.

“Bagaimanapun, apa yang menyedihkan adalah kaedah dan metodologi yang digunakan oleh penulis, Ali Ghufran jauh menyimpang daripada cara yang disarankan oleh Islam. Mengebom gereja misalnya dan membunuh orang tidak berdosa adalah perbuatan yang berlawanan dengan prinsip agama Islam sendiri.

“Penulis memberi justifikasi bahawa perjuangan jihad yang dilaksanakan olehnya serta Imam Samudera dan Amrozi dalam pengeboman Bali adalah benar dan sebagai balasan bagi penindasan umat Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan. Ini menyimpang daripada ajaran Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 5:03 AM