LOKMAN bersama anaknya Bob Lokman membaca buku mengenai Tok Kenali.
LOKMAN bersama anaknya Bob Lokman membaca buku mengenai Tok Kenali.
Muhamaad Razis Ismail


TIDAK berhenti membaca surah Al-Ikhlas antara amalan tokoh ulama nusantara, Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusof sepanjang hayatnya.

Cucu ketiganya, Lokman Ahmad, 82, yang lebih dikenali sebagai Ayah Man berkata, amalan membaca surah itu tidak pernah lekang di mulut sepanjang hayat arwah datuknya.

"Saya tidak sempat bertemu arwah namun saya difahamkan, melalui penceritaan orang ramai, datuk mengamalkan bacaan surah Al-Ikhlas sepanjang hayatnya.

"Tok Kenali hanya berhenti membaca surah itu apabila menjawab salam dan memberi kuliah agama sahaja," katanya.

Beliau berkata, biarpun memiliki ilmu agama yang tinggi dan digelar tokoh pembangunan pemikiran umat Islam, Tok Kenali hidup secara sederhana malah terpengaruh dengan tokoh ilmuwan Islam tersohor, Al Ghazali.

"Tok Kenali sangat menghormati ibu, pemurah, seorang yang sabar, suka berjalan selain hidup berdikari. Malah pakaiannya juga cukup sederhana," katanya.

LOKMAN menziarah kubur Tok Kenali.
LOKMAN menziarah kubur Tok Kenali.

Tambahnya, Tok Kenali mula menunjukkan kecerdasannya sejak kanak-kanak.

"Tok Kenali khatam al-Quran sejak kecil dan pada usia sembilan tahun, Tok Kenali menyambung pelajaran dengan ramai guru agama tersohor di Kota Bharu.

"Kemudian pada usia 18 tahun, Tok Kenali melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci Makkah dan berada di sana selama 22 tahun.

"Sebaik pulang, Tok Kenali membuka dua pondok termasuk di kampung kelahirannya di Kampung Belukar yang kini menjadi lokasi Masjid Kenali," katanya.

Menurutnya, kemahsyuran Tok Kenali menarik kehadiran ramai individu dari dalam dan luar negara untuk menuntut dengannya.

"Tok Kenali memperkenalkan sistem pengajian pondok dan di situ beliau berjuang, mengasuh dan mendidik muridnya dari rantau nusantara termasuk selatan Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Pondok ini melahirkan ramai tokoh agama yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing," katanya.

PUSAT Pengajian Islam Tok Kenali.ssss
PUSAT Pengajian Islam Tok Kenali.ssss

Selain itu, Tok Kenali juga menjadi Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh serta menyandang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negeri termasuk Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan, Ketua Pelajaran Agama dan Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Mengulas lanjut, legasi Tok Kenali diteruskan warisnya sejak turun-temurun sehingga Pondok Tok Kenali kini dijenamakan sebagai Pusat Pengajian Islam Tok Kenali.

"Ia sesuai peredaran zaman dan kebangkitan Islam hari ini sebagai kesinambungan usaha dan perjuangan Tok Kenali," katanya.

MASJID Tok Kenali yang dahulunya Pondok Tok Kenali.
MASJID Tok Kenali yang dahulunya Pondok Tok Kenali.

BIODATA TOK KENALI

Latar Belakang

-Dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan pada 1868

-Mempunyai empat anak.

Pendidikan

-Belajar di Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada usia sembilan tahun

-Melanjutkan pelajaran di Makkah pada usia 18 tahun


Jawatan disandang

-Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan

-Ketua Pelajaran Agama (Pengarah Bahagian Ilmu Agama)

-Ketua Pengarang pertama Majalah Pengasuh

-Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

-Guru agama di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 6:30 PM