Redzuan Muharam


Dungun: Lima tahun lalu, Wan Razali Wan Mohd pernah melepaskan motosikal kesayangan pemberian arwah isteri, Lujaini Umat@Bidin untuk membayar yuran pengajian anak sulungnya, Wan Nuraisyah.

Bulan lalu, giliran Wan Nuraisyah, 23, pula membalas jasa Wan Razali dengan menghadiahkan motosikal model SYM sempena ulang tahun bapanya yang ke-58 pada 14 September.

Video kejutan itu dimuat naik Wan Nuraisyah di TikTok sebelum tular di laman sosial.

Menerusi video itu, kelihatan Wan Razali tidak dapat menahan sebak sebaik menerima kejutan daripada Wan Nuraisyah yang menghadiahkan motosikal itu bagi menghargai pengorbanan bapanya.

Wan Razali, bapa dua anak yang menetap di Kampung Pulau Serai, di sini berkata, perasaannya bercampur baur iaitu sedih, terharu dan bersyukur sewaktu menerima hadiah itu.

"Sedih kerana dulu, arwah isteri (Lujaini Umat@Bidin) hadiahkan saya motosikal dan kini, giliran anak pula.

"Saya tidak pernah harapkan balasan daripadanya malah apa saya lakukan selama ini sekadar laksanakan tanggungjawab sebagai bapa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Wan Razali gagal menahan air mata ketika menerima kejutan daripada Wan Nuraisyah (kiri) dan Wan Razali bersama motosikal barunya (kanan). FOTO ihsan Wan Nuraisyah
Wan Razali gagal menahan air mata ketika menerima kejutan daripada Wan Nuraisyah (kiri) dan Wan Razali bersama motosikal barunya (kanan). FOTO ihsan Wan Nuraisyah

Bercerita lanjut, Wan Razali tidak menafikan berat hati untuk menjual motosikal pemberian arwah isterinya yang meninggal dunia sehari selepas diserang demam, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Wan Razali terdesak dan tidak nampak cara lain untuk mendapatkan wang ketika itu.

"Kira-kira 20 tahun lalu, arwah isteri hadiahkan motosikal model Honda EX5 sempena ulang tahun kelahiran saya. Ini kerana arwah tahu saya sukakan motosikal dan kurang gemar memandu kereta.

"Selepas pemergiannya, saya tidak bekerja tetapi perlu menyara anak dan Wan Nuraisyah pula baru masuk ke kolej pada waktu itu.

"Kesempitan wang memaksa saya lepaskan motosikal dihadiahkan isteri dan menjualnya dengan harga RM1,000 kepada ejen kenderaan terpakai.

"Sedihnya kerana motosikal itu ada nilai sentimental, kenangan dan salah satu hadiah berharga pernah diberikan arwah isteri kepada saya sewaktu hayatnya," katanya.

WAN Razali Wan Mohd (tengah) bergambar pada majlis perkahwinan anaknya, Wan Nuraisyah. FOTO ihsan Wan Nuraisyah
WAN Razali Wan Mohd (tengah) bergambar pada majlis perkahwinan anaknya, Wan Nuraisyah. FOTO ihsan Wan Nuraisyah

Sementara itu, Wan Nuraisyah berkata, dia menghadiahkan motosikal itu sebagai tanda ingatan sempena ulang tahun kelahiran bapanya.

"Ayah banyak berkorban sewaktu saya belajar dulu hingga sanggup jual motosikal dihadiahkan arwah emak kepadanya.

"Kini, saya sudah bekerja dan ada punca pendapatan jadi sudah tiba masanya berkongsi rezeki dengan ayah," katanya yang sudah berkahwin pada Mac lalu dan bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 8:01 PM