RAJA ILYA mahu kembali aktif berlakon tahun ini
RAJA ILYA mahu kembali aktif berlakon tahun ini
Ramlah Zainal


SAMBUTAN Ramadan pastinya berbeza jika kita berada di negara orang dan berjauhan dari ahli keluarga serta sanak saudara.

Itulah yang dirasai pelakon Raja Ilya, 38, yang berkahwin dengan ahli perniagaan kelahiran Australia, Trent Garrett, 42, sejak 2018.

Menurut Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, ia adalah tahun ketiga, dia dan suaminya berpuasa di Perth, Australia.

"Tiada perasaan teruja untuk berbuka atau bersahur kerana hanya kami bertiga termasuk anak, Talita Love, saja di sini.

"Tak ada cabaran sangat pun berpuasa di Perth kerana waktu berbuka pada jam 6.20 petang. Waktu bersahur juga masih gelap lagi iaitu pada jam 5 pagi (waktu tempatan).

"Namun, bila sudah semakin dekat nak raya waktu berbuka akan menjadi lebih awal pada jam 5.50 petang," katanya.

Menurut pelakon wanita berdarah kacukan Melayu, Arab dan India Malabar itu, suaminya, Trent tidak ada masalah untuk menunaikan ibadah puasa pada Ramadan tahun ini kerana sudah mula berpuasa sejak 2019.

"Trent sudah mula berpuasa ketika kami terbabit dengan penggambaran program bercorak travelog di Sarawak yang juga pada Ramadan.

RAJA Ilya menjalani rutin biasa berpuasa di negara orang.
RAJA Ilya menjalani rutin biasa berpuasa di negara orang.

"Alhamdulillah, suami tidak ada sebarang masalah untuk berpuasa selama sebulan walaupun kami sibuk dengan penggambaran ketika itu.

"Begitu juga pada tahun ini, suami dapat berpuasa dengan lancar," katanya.

Ditanya juadah berbuka dan sahur pula, kata Raja Ilya, biasanya dia dan Trent yang akan memasak bergantung dengan 'moodnya'.

"Sejak kelahiran anak, Talita, kami hanya masak ringkas saja untuk bersahur. Pada malam pertama kami berbuka, Trent masak nasi beriani dan dia memang pakar masak beriani kambing. Juadah kegemaran suami yang saya masak ialah masak lemak," katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri pula, kata Raja Ilya, dia akan meraikannya bersama suami dan anak di Perth.

Menurutnya, dia dan suami juga merancang mengadakan rumah terbuka pada raya pertama atau kedua nanti.

"Sebenarnya, saya terlupa kita akan beraya awal pada tahun ini. Disebabkan teruja nak balik Malaysia selepas tiga tahun tidak pulang ke tanah air sejak pandemik Covid-19, saya sudah buat tempahan tiket penerbangan dan pulang ke tanah air lebih awal pada Januari lalu. Kalau saya rancang betul-betul, mesti saya dapat beraya di kampung halaman pada tahun ini," katanya.

Mengenai kehadiran anak perempuannya, Talita Love pula, kata Ilya, ia adalah anugerah terindah dalam hidupnya.

"Saya tidak pernah rasa bahagia seperti ini sepanjang hidup. Bergelar ibu adalah perkara terbaik dalam hidup dan setiap pengorbanan adalah bernilai.

"Saya cuba menyusukan Talita sampai lima bulan dan kini dia sudah berusia lapan bulan," kata pelakon drama rantaian Love You Mr Arrogant.

Tidak lengkap jika tidak menyentuh perkembangan karier seni bintang filem Estet dan KL Vampires ini.

Kata Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin TV3 pada 2015 ini, dia merancang kembali aktif berlakon pada tahun ini.

"Walaupun menetap di Perth, saya masih berulang-alik ke Malaysia. Cuma sejak pandemik Covid-19, saya tidak terbabit dengan apa-apa projek filem di Malaysia.

Pada masa sama, saya juga berehat panjang kerana melahirkan dan memberi fokus pada Talita sebelum ini. Jika saya di Malaysia, pastinya tiada masalah untuk kembali berlakon selepas selesai tempoh berpantang tapi sebaliknya saya berada di Perth.

"Insya-Allah, bila Talita mencecah usia setahun pada Julai nanti, saya mahu kembali aktif berlakon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 6:17 AM