Nurul Husna Mahmud

"KAMI bersedia berdepan dalam keadaan paling buruk seperti pembedahan post mortem bagi kes bunuh membabitkan pesakit Covid-19 selain dalam prosedur aerosol.

"Keadaan dalam bilik tertutup boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 kepada kami petugas barisan hadapan," kata Penolong Pegawai Perubatan Jabatan patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Mohd Alif Azwan Abdullah ketika mengulas keadaan paling ekstrem mungkin dihadapi petugas sepertinya ketika musim wabak.

Katanya, peningkatan aras keselamatan ditingkatkan pada tahap keempat yang bukan saja memerlukan dia mengenakan pakaian pelindung diri (PPE) penuh, tetapi pada pada masa sama mengenakan helmet dan mesin khas bagi tujuan mengelak jangkitan virus berkenaan.

"Kalau persiapan donning dan doffing sudah susah, petugas Jabatan Patologi Forensik PPUM terpaksa persiapkan diri dengan peralatan lebih rumit apabila terdapat mesin khas berperanan untuk menapis udara agar virus berkenaan tidak menjangkiti kami.

"Tetapi ketika ini pihak hospital cuba meminimumkan contact supaya kes memerlukan prosedur rumit itu dilakukan apabila keadaan memerlukan. Prosedur pembedahan kes polis bawah kendalian kami, akan swab baru post mortem dilakukan," katanya.

Katanya, pengurusan jenazah pesakit Covid-19 menggunakan standard prosedur Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengikut tatacara urus pesakit Ebola.

"Sifat pandemik agak mencabar, kecil kawan, besar lawan. Mayat perlu dikeluarkan pada kadar segera dan untuk ahli keluarga melawat, hanya seorang dibenarkan. Ahli keluarga perlu mengenakan PPE penuh selain proses pengecaman dilakukan pada jarak satu meter.

"Setakat ini jumlah jenazah pernah diuruskan ialah enam orang termasuk seorang Muslim dan semua warga emas. Semuanya tiga lapis iaitu lapisan pertama menggunakan cadar katil pesakit itu sendiri, kemudian dua lagi dibungkus polibag dan setiap lapisan dinyah infeksi dengan hidroklorik asid," katanya.

Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan ujian saringan Covid-19.
Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan ujian saringan Covid-19.

Mengakui melalui proses menguruskan pesakit jenazah Covid-19, dia terkesan apabila melihat waris tidak dapat menyempurnakan jenazah bersama.

"Memang pengalaman menguruskan pesakit inilah paling menyentuh hati apabila melihat waris tidak dapat peluk dan cium seperti dalam pengurusan jenazah normal.

"Mental kami kena kuat. Saya sendiri perlu kuat untuk kakitangan di bawah dan juga demi keluarga," katanya.

Menyentuh rutin harian, Mohd Alif mengakui dia terpaksa 'mengetepikan' seketika keluarganya dalam tempoh ini.

"Penat itu memang penat, makan minum di hospital. Kadang-kadang tengah malam kena datang bekerja. Isteri saya juga bekerja sebagai seorang frontliner
di unit kecemasan bekerja syif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 7:20 AM