Oleh Rafidah Mat Ruzki; Mohd Anwar Patho Rohman dan Luqman Arif Abdul Karim


PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Kabinet sekiranya Perdana Menteri tidak ada dalam negara.

Perdana Menteri berkata, kedudukan semua Menteri Kanan adalah sama rata namun, beliau juga memaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini, jika beliau tiada dalam negara, Mohamed Azmin yang akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet atau melakukan apa yang perlu dilakukan.

“Jika beliau juga tidak ada, Menteri Kanan saya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan) untuk mempengerusikan (mesyuarat), jadi saya mempunyai banyak sokongan di sini.

AZMIN. FOTO NSTP
AZMIN. FOTO NSTP

“Seperti saya katakan, sistem ini akan menjadi sebuah Kabinet yang berfungsi, yang akan menyampaikan perkhidmatan untuk kepentingan negara,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet baharu, di Bangunan Putra Perdana, hari ini.

Selain Mohamed Azmin dan Ismail Sabri, dua lagi Menteri Kanan itu adalah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Tedahulu, Muhyiddin berkata, semua Menteri Kanan itu akan bertanggungjawab terhadap kementerian yang terbabit dengan kluster ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

Katanya, senarai berkenaan akan ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali bagi mengelakkan pertindihan, walaupun ada beberapa perkara tertentu seperti isu COVID-19, yang akan membabitkan banyak kementerian termasuk Kementerian Pengangkutan serta Pertanian dan Industri Makanan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, semua anggota Kabinet dikehendaki mengisytiharkan harta dalam tempoh sebulan.

Katanya, anggota Kabinet juga turut diingatkan mengenai komitmen untuk menentang dan membanteras rasuah pada mesyuarat pertama Kabinet hari ini.

“Pertama saya telah sebutkan, akan ada kita serahkan nanti, kertas aku janji untuk ‘commit’, semua pimpinan dalam kerajaan untuk menentukan tahap integriti kerajaan Perikatan Nasional ini, adalah tahap yang paling tinggi.

“Yang kedua, saya beritahu semua ahli Jemaah Menteri untuk mengisytihar harta mereka. Borang isytihar itu yang biasa disediakan akan diedar dan kita akan minta supaya dalam tempoh sebulan semuanya akan diserah kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) seperti mana yang dibuat pada masa yang lepas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 1:28 PM