KENDERAAN mangsa remuk teruk. FOTO Ihsan Pembaca.
KENDERAAN mangsa remuk teruk. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Rashidi Yusuf


TIGA maut termasuk dua beradik perempuan, manakala tiga kanak-kanak parah dalam kemalangan babitkan dua kenderaan di Kilometer 73 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu dekat Lawin, Gerik, 12.10 tengah malam tadi.

Mohd Azli Faizal Mansor, 33, yang juga kontraktor maut di lokasi, manakala Rozita Khayri, 33, dan adiknya Rashidah, 29, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Gerik.

Mereka yang parah adalah anak Rozita iaitu Adam Rais Zulfahan, 1, serta anak Rashidah, Amanda Rafania Deyana Muzhaffar, 1, dan Muhammad Irfan Daniel, 8, yang kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Turut cedera, adik Rozita iaitu Mohamad Ridzuan, 22. Seorang lagi anak Rashidah, Muhammad Harazz Darwish, 3, bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gerik Superitendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta Honda Accord dipandu Mohd Azli Faizal, sendirian dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Gerik hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Keretanya kemudian bertembung dengan pacuan empat roda Mitsubishi Storm dipandu Mohamad Ridzuan dan dinaiki tujuh ahli keluarga mereka yang dari Kelantan menghala ke Batu Kurau, Taiping.

“Pertembungan menyebabkan Mohd Azli Faizal maut dilokasi dan Rozita serta Rashidah meninggal dunia di hospital. Tiga kanak-kanak parah dan seorang cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa maut dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Che Ros Che Hassan mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 3:03 PM