ANGGOTA bomba melakukan operasi menyelamat mangsa kemalangan di Kilometer 65 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba melakukan operasi menyelamat mangsa kemalangan di Kilometer 65 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Muhammad Apendy Issahak


DUA wanita maut manakala empat parah selepas dua kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 65 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, hari ini.

Kemalangan jam 3.55 petang itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki tujuh individu termasuk dua kanak-kanak dan Proton Persona dipandu seorang lelaki.

Mangsa yang maut adalah dua penumpang bahagian tengah MPV, manakala yang parah adalah dua kanak-kanak, pemandu MPV dan pemandu kereta, sementara dua lagi terselamat.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dari arah Jeli, Kelantan menuju ke Pulau Pinang dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan itu mengakibatkan MPV berkenaan melanggar bahagian hadapan Proton Persona yang menuju ke arah Jeli.

“Akibat daripada kemalangan itu, penumpang Perodua Alza iaitu Sabariah Yusoff, 59, dan Wan Asmah Wan Ismail, 58, berasal dari Machang, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu MPV, Yudi Haryono, 39, warga Indonesia yang juga menantu kepada Sabariah serta dua anaknya Muhammad Hazriq Wiranata, 11 dan Muhammad Harith Muzaffar, 10, selain pemandu kereta Abdul Majid Mausin, 27, cedera.

“Yudi mengalami luka dalam perut dan dirujuk ke Hospital Taiping, manakala anaknya Muhammad Hazriq Wiranata patah kaki dan Muhammad Harith Muzaffar patah tangan serta pemandu kereta pula patah kaki.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Gerik berkata, dua jentera dihantar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan serta dimaklumkan terdapat lapan mangsa.

“Empat mangsa sudah dikeluarkan dan dibawa orang awam ke hospital, manakala dua wanita disahkan sudah meninggal dunia. Namun terdapat seorang lelaki dan kanak-kanak yang terperangkap dalam MPV.

“Anggota bomba kemudian menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan kesemua mangsa sebelum menyerahkan kepada pihak polis dan pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 10:38 PM