ZARA akui kesedihan yang dilalui tidak perlu dipamer depan khalayak.
ZARA akui kesedihan yang dilalui tidak perlu dipamer depan khalayak.
Sudirman Mohd Tahir


TAHUN 2019 yang baru melabuhkan tirainya menjadi detik paling diingati pelakon popular, Zara Zya.

Ikatan pertunangan bersama Hafreez Adam pada 12 Oktober lalu hanya mampu bertahan selama sebulan sebelum kedua-duanya mengambil keputusan berpisah.

Meskipun pahit untuk ditelan, Zara, 35, atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin menganggap ia dugaan buat dirinya dan itu bukan alasan untuk terus bersedih serta mengenang perkara yang sudah berlalu.

Bagi Zara yang juga pelakon drama Pia, apa yang penting adalah teruskan kehidupan selain bersedia mendepani apa juga cabaran sepanjang tahun ini.

“Tahun lalu paling diingati sebab bertunang dan putus. Ia perkara di luar jangkaan saya. Siapa sangka apabila kita sudah gembira tiba-tiba diuji sebegini.

“Apa saya boleh buat, kehidupan perlu diteruskan. Saya masih hidup macam biasa walaupun ada ketika sedih. Bagaimanapun, kena kuat. Macam semua orang tahu saya seorang yang kuat. Jadi, macam itu juga saya akan tunjuk kepada orang.

“Apabila positif, saya tidak fikir lagi perkara tak sepatutnya. Saya tetap percaya baik buruk sesuatu kejadian, semua Allah tentukan. Kita hanya perlu teruskan hidup,” katanya.

Menurut Zara, kesedihan yang dilalui tidak perlu dipamer depan khalayak meski ramai beranggapan dirinya seolah-olah gembira dengan apa yang terjadi.

Hanya kerana sering memuat naik gambar ceria di Instagram, Zara mengakui dihujani pertanyaan tidakkah dia bersedih?

“Takkan nak kena muat naik video menangis di IG semata-mata nak cakap saya sedih sebab putus tunang.

“Diakui memang ada yang komen di gambar saya. Mereka cakap saya tak kelihatan sedih pun.

“Adakah saya perlu tunjuk semua itu di IG? Dalam perkara ini, ramai tahu saya sentiasa positif dan kuat.

“Jadi, saya kena tunjuk kepada keluarga, kawan dan peminat macam mana kuatnya saya. Secara tak langsung boleh buat orang terikut benda yang positif,” katanya.

PERCAYA baik buruk sesuatu kejadian, semua ketentuan Allah SWT.
PERCAYA baik buruk sesuatu kejadian, semua ketentuan Allah SWT.

Sudah ‘move on’?

Pastinya selepas dua bulan berlalu, sekali lagi ramai menunggu siapa kekasih terkini Zara.

Malah, Zara berkata dia tidak pernah terfikir soal ‘move on’ kerana kesibukan kerja sudah membuatkan dirinya fokus dalam kerjaya.

“Soal ‘move on’, saya malas nak fikir. Saya pun jenis ‘gila’ kerja, jadi saya bekerja saja.

“Memang dari dulu lagi orang nak tahu siapa yang menjadi pasangan saya. Agak lama juga saya tak kongsi siapa pasangan saya. Sampailah saya terbuka hati untuk kongsi dengan siapa saya bercinta hinggalah bertunang dan akhirnya putus di tengah jalan.

“Jadi, dengan siapa selepas ini, insya-Allah saya akan kongsi. Cuma, buat masa sekarang nak kata saya ‘move on’ atau sudah ada orang lain, memang tak ada sesiapa lagi.

“Nak kata hati sudah terbuka terima orang lain atau masih tertutup, itu saya tak berani nak komen. Sebab saya belum jumpa lagi sesiapa dan hati masih lagi belum fikir mengenainya,” katanya.

Mengenai kerjaya, Zara bersyukur dengan limpahan rezeki dan tawaran kerja yang tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, tahun lalu semuanya berjalan lancar malah saya dapat anugerah pada ASK 2019. Sekurang-kurangnya setahun dapat satu sasaran iaitu anugerah. Alhamdulillah, kerjaya semakin baik dan rezeki pun tak putus,” katanya.

Bagaimanapun, Zara tidak mahu meletakkan dirinya di zon selesa hanya kerana masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah bagi membintangi karya mereka.

“Tidak boleh nak kata berada di zon selesa walaupun masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit. Bagi saya komitmen dan kualiti yang diberi itu menjadi kepercayaan mereka untuk tawarkan kerja kepada saya.

“Sudah tentu apabila orang sudah suka, rezeki tak putus dan tawaran sentiasa ada. Jadi, saya cuba kekalkan dan jaga diri dengan kurangkan kontroversi serta cerita negatif. Alhamdulillah, naskhah yang saya lakonkan pun semuanya hebat belaka. Itu juga membantu kerjaya saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:00 AM