ZARA Zya.
ZARA Zya.
Ridzuan Abdul Rahman

“ADA yang bertanya, apakah saya tak terbuka hati untuk orang lain? Jawapannya saya tiada masa untuk itu lagi kerana sibuk bekerja. Dari dulu pun, saya memang gila kerja. Benda ini sedikit sebanyak mengganggu fikiran saya. Apabila bekerja kita lupa benda lain,” kata pelakon cantik, Zara Zya.

Zara, 34, yang juga bekas tunang pelakon, Hafreez Adam berkata, dia sudah ‘move on’ dengan peristiwa lalu dan kini bangkit mencari sesuatu yang lebih baik di hadapannya.

“Saya reda dan terima ketentuan apabila perkara (putus tunang) itu berlaku. Alhamdulillah, Allah beri kekuatan untuk saya terima apa saja yang berlaku dalam hidup. Yang penting saya sentiasa positif sampai sekarang. Peminat selalu tanya kenapa saya macam tiada apa-apa berlaku dalam hidup.

“Mereka tertanya-tanya kenapa saya nampak okey sahaja, nampak positif. Itu yang saya nak sebenarnya. Saya tak nak orang nampak kelemahan saya,” katanya.

Zara berkata, seboleh mungkin dia cuba menyembunyikan kelemahan kerana menyedari segelintir peminat menjadikannya sebagai idola mereka.

“Sebagai selebriti, saya mungkin idola adik-adik di luar sana. Bagaimana mereka nak jadikan saya idola? Tentunya daripada kekuatan dan kelebihan yang saya ada, bukan dari segi yang lain.

“Saya tak nak mereka jadikan saya idola hanya dari segi lakonan, tapi mahu mereka juga suka dari segi pembawaan diri. Maksudnya cara saya tunjuk yang saya kuat dan sentiasa positif dalam hidup.

SELESAI menjalani penggambaran drama berjudul Korban Kasih.
SELESAI menjalani penggambaran drama berjudul Korban Kasih.

“Kalau saya bersedih dan tak keluar rumah kenangkan apa yang terjadi, siapa yang nak bayar bil? Melainkan hidup saya ditanggung orang. Nak tak nak saya memang kena kuat. Saya kena bekerja dan jumpa orang di luar,” katanya.

Dia juga sentiasa perlu dilihat okey supaya orang selesa setiap kali bertemunya.

“Kalau orang jumpa saya dan nampak sedih saja, mereka pun bosan. Benda ini tiada aura yang baik untuk orang lain. Jadi, saya kena sentiasa kuat untuk bagi orang di sekeliling saya juga kuat,” katanya.

Ketabahan hati Zara terus diuji apabila dikatakan mempunyai hubungan sejenis dengan seorang wanita yang dikaitkan sebagai punca pertunangannya putus.

Bagaimanapun, dia tenang dan tidak mudah melatah dengan dakwaan yang dilemparkan.

“Ini sebenarnya publisiti yang bagus kerana secara tak langsung orang bercakap mengenai saya. Bagaimanapun, secara tak langsung saya kena berhati-hati selepas ini untuk keluar, berkawan dan bekerja dengan sesiapa.

“Saya juga nak pesan kepada semua orang supaya sentiasa berhati-hati dengan percakapan, tindakan dan perbuatan kita. Bagi saya, benda ini tak beri impak terlalu kuat pun kerana tahu apa yang saya buat dan orang sekeliling pun tahu siapa saya sebenar. Bagaimanapun, lupakan saja kerana benda ini dah berlalu,” katanya.

Bercerita perkembangan terkini, Zara berkata, dia baru selesai menjalani penggambaran drama berjudul Korban Kasih yang diadaptasi daripada novel.

“Ia akan ditayangkan sepanjang Ramadan di RTM. Pelakon lain yang terbabit antaranya Dynas Mokhtar, Ummi Nazeera, Ezzaty Abdullah dan Saharul Ridzwan. Sekarang saya lebih banyak terbabit dengan mesyuarat untuk perniagaan sempena Aidilfitri kerana orang sudah mula sibuk dengan projek raya sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 6:00 AM