ZARA Zya
ZARA Zya
Sudirman Mohd Tahir


“TAKKAN saya nak kena muat naik video menangis semata-mata nak beritahu saya sedih sebab putus tunang,” kata pelakon popular, Zara Zaya apabila ada mendakwa dirinya seolah-olah tidak terkesan selepas putus tunang dengan pelakon, Hafreez Adam, baru-baru ini.

Zara, 34, berkata, dia perlu kuat dan sentiasa berfikiran positif atas apa yang berlaku.

Dia juga percaya perkara itu akan menjadi contoh dan teladan kepada banyak pihak supaya tidak meratapi apabila kehilangan seseorang.

“Memang ada yang komen pada gambar saya. Mereka cakap saya tak nampak sedih pun. Adakah saya perlu tunjuk semua itu di Instagram? Dalam perkara ini, ramai tahu saya sentiasa positif dan kuat.

“Jadi, saya kena tunjuk kepada keluarga kawan dan peminat macam mana kuatnya saya. Jadi, ia secara tak langsung boleh buat orang terikut benda yang positif,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sekiranya ada tawaran kerja membabitkan dirinya dengan bekas tunang, Zara berkata, dia bersikap profesional.

“Kami putus tunang secara baik dan tidak bergaduh pun. Jadi, apabila perkara ini terjadi, tidak perlu wujud masalah antara kami.

“Saya okay dan boleh bersikap profesional. Lagi pun, ini soal kerja dan bukannya peribadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 4:50 PM