IU pertama kali berkunjung ke Malaysia.
IU pertama kali berkunjung ke Malaysia.
Georgie Joseph


HADIR untuk menjayakan konsert sulungnya di Malaysia, pelakon dan penyanyi IU membawa pulang lebih daripada setakat kenangan baru-baru ini.

Artis terkenal dari Korea Selatan itu sebaliknya turut dihadiahkan nyanyian spontan lagu Krismas daripada lebih 10,000 penonton yang hadir.

Sekali gus, pastinya sambutan Hari Natal IU lebih bermakna tahun ini di mana dia sempat meminta penonton menyanyikan semula lagu All I Want For Christmas is You nyanyian asal Mariah Carey.

Menurutnya, dia sangat teruja apabila momen itu berlaku meskipun dia berada di belakang pentas.

“Dari belakang saya boleh dengar kamu menyanyikan lagu itu. Manisnya kamu melakukannya dan saya harus akui kamu semua menyanyi dengan baik.

“Kamu pasti tidak sabar untuk menyambut Krismas bukan? Boleh nyanyikan lagu itu sekali lagi?” katanya yang sempat menyambung lirik lagu ikonik sempena perayaan besar terbabit.

Hadir berkunjung buat pertama kali ke sini menjayakan konsert Love, Poem 2019 IU Tour Concert, penyanyi itu benar-benar tidak mahu mensia-siakan peluang bertemu peminat di sini.


Dia mengakui banyak perkara terindah berlaku kepadanya sepanjang di sini. Meskipun masanya terhad, dia sejujurnya jatuh cinta dengan Malaysia.

“Pertamanya, cuaca di sini begitu mengejutkan saya. Dalam satu hari, saya alami cuaca panas, kemudian tiba-tiba hujan dan sejuk.

“Saya tidak berpeluang untuk keluar berjalan, namun sempat merasa layanan yang sangat baik. Di mana saja, setiap hal menggembirakan saya,” katanya.

Dalam konsert tiga jam itu, IU memberikan persembahan yang bukan saja hebat, namun cukup menghiburkan. Bahkan, dia bermurah hati untuk menyanyi spontan beberapa lagu.

Daripada segi nyanyian, dia berjaya mengagumkan semua dengan vokalnya yang cukup gemersik. Terutama nyanyian tanpa muzik untuk lagu Autumn Morning.

Dia membuktikan vokalnya secara langsung tiada tandingan. Nyanyiannya nampak bersahaja, namun secara teknikal, vokalnya begitu kukuh.

Sememangnya cukup berpengalaman di pentas, IU tampak selesa menyerlahkan karakter sebenarnya. Dia memilih untuk lebih banyak berinteraksi dan sempat menyakat peminat.

Pada satu segmen, dia turut memberi ruang kepada dirinya meneliti setiap peminat di bawah pentas. Dia bahkan melilau melihat apa yang ditulis peminat pada papan tanda dibawa.

IU juga turut bertanyakan kepada penonton sekiranya mereka meminati drama lakonannya Hotel del Luna yang fenomena baru-baru ini. Semestinya pertanyaan itu disahut dengan sorakan yang paling kuat.


“Saya ada bertanya juga dengan pemandu kami di sini jika sukakan drama itu. Syukur, dia juga sangat sukakannya.

“Saya dengar kamu semua pun sangat sukakannya. Tolong jangan lupa drama itu sampai bila-bila,” katanya yang seterusnya menyanyikan medley lagu runut bunyi drama itu.

Yang pasti, IU tidak dapat menyembunyikan betapa dia sendiri tidak merasa rugi bertandang ke Malaysia. Malah, dia bersyukur akhirnya dapat menjejak kaki ke sini.

“Saya dengar kamu semua memang sudah lama tunggu saya datang sini. Jujur, saya sangat teruja melihat bagaimana tenaga kamu semua.

“Jarang saya tengok penari teruja lebih seperti hari ini. Pertama kali saya lihat mereka lebih bersemangat,” katanya.

Menurutnya, dia berjanji tidak mungkin dapat melupakan kenangan bersama peminat di sini. IU bahkan turut sebak apabila konsertnya sudah sampai penghujung ketika itu.

“Terima kasih Kuala Lumpur disebabkan selalunya saya akan merasa kesunyian itu datang kembali apabila persembahan sudah hampir tamat.

“Bagaimanapun, di sini saya rasa seperti tidak mahu ia berakhir secepat ini. Apapun, kita pasti akan jumpa lagi dan simpan tenaga ini apabila saya datang kembali,” katanya.

Pada konsert anjuran Galaxy Group itu, IU menyanyikan lebih 25 lagu termasuk Unlucky, Palette (akustik), Autumn Morning, Friday, Secret Garden, The Visitor, Jam Jam, Twenty-three, BBIBBI, Hold My Hand, Last Night Story, Blueming, Meaning of You dan Can You See My Heart.

Tidak ketinggalan lagu Remember Me, Our Happy Ending, Lullaby, Through The Night, Dlwlrma, The Red Shoes, Above the Time,

You and I, Good Day, Love Poem, My Old Story, Leon,

Someday dan Every End of the Day.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 6:05 AM