KERETA Perodua Myvi melanggar bahagian belakang sebuah kori muatan buah menyebabkan lima maut di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
KERETA Perodua Myvi melanggar bahagian belakang sebuah kori muatan buah menyebabkan lima maut di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


LIMA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan, di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi, Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, serta empat penumpang kenderaan itu iaitu Jamilah Jalim @Jamil, 47, Bashirah Jalim@Jamil, 49, Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kemalangan itu membabitkan kereta Perodua Myvi dinaiki kelima-lima mangsa dengan sebuah lori membawa muatan buah.

“Kemalangan ini berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 35 tahun terbabit dalam perjalanan dari Selama menuju ke Selayang.

“Sebaik tiba di lokasi, lori berkenaan dilanggar dari arah belakang oleh kereta Perodua Myvi di lorong kiri lebuh raya terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan empat penumpang kereta Myvi terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Kemalangan itu menyebabkan lori terbabit rosak di bahagian belakang, manakala kereta berkenaan rosak di bahagian hadapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 8:34 AM