LIMA sekeluarga dikebumi dalam satu liang lahad. FOTO Sharul Hafiz Zam
LIMA sekeluarga dikebumi dalam satu liang lahad. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkiffli


JENAZAH lima mangsa kemalangan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan di Kuala Kubu Baru, Selangor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, di Yan, awal pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, dan isterinya, Jamilah Jalim@Jamil, 47, serta anak mereka, Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, bersama kakak Jamilah, Bashirah, 49, serta anaknya, Nur Shifa Abdul Rashid, 17, tiba di Kampung Ruat, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Jenazah mereka dibawa ke rumah ibu pasangan adik-beradik itu sebelum dibawa ke Masjid Kampung Ruat untuk disembahyangkan.

Lebih 300 ahli keluarga dan rakan hadir pada majlis pengebumian jenazah lima bersaudara itu.

Anggota keluarga mangsa, Azraiee Hassan, 59, berkata kesemua mangsa selamat dikebumikan jam 1 pagi.

Beliau berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian semua mangsa walaupun kehilangan mereka sekelip mata.

“Sedih sebaik melihat jenazah kesemua mangsa dibuka untuk tatapan ahli keluarga buat kali terakhir.

“Apapun kami tetap reda dengan apa yang berlaku sebab itu semuanya sudah ditentukan Allah,” katanya, hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi.

Mereka dalam perjalanan menuju ke rumah adik pasangan adik-beradik itu, Norliza Jalim, 39, di Shah Alam, Selangor untuk kenduri doa selamat yang sepatutnya diadakan hari ini.

Berita berkaitan

Bagai mimpi ngeri hilang ibu, adik

Sayu kenang kehilangan lima saudara

Tragedi konvoi ke kenduri aqiqah

Lima maut nahas dua kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 10:06 AM