NURUL Syafika  menunjukkan gambar dia bersama adiknya, Nur Shifa (hadapan) yang meninggal dalam kemalangan di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
NURUL Syafika menunjukkan gambar dia bersama adiknya, Nur Shifa (hadapan) yang meninggal dalam kemalangan di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


“PAGI tadi, ayah kejutkan saya jam 8 pagi dan beritahu emak serta adik terbabit dalam kemalangan sebelum ayah tiba-tiba menangis, barulah saya tahu mereka dah tiada,” kata Nurul Syafika Abdul Rashid, 19.

Menurut Nurul Syafika, dia terkejut mendengar kejadian itu dan menangis kerana bagaikan mimpi dia kehilangan ibu dan adik selama-lamanya.

Malam kelmarin, ibunya, Bashirah Jalim@Jamil, 49, sempat berpesan kepadanya supaya masak ringkas saja untuk ayahnya sepanjang dia berada di Shah Alam selain menjaga rumah dengan baik.

“Saya tak sedap hati ketika arwah emak dan adik (Nur Shifa Abdul Rashid, 17,) hendak meninggalkan rumah kami di Gurun ke rumah tok (nenek) di sini.

“Ketika itu saya sayu ketika adik dan emak bersalaman dengan saya selain melambai tangan ketika meninggalkan rumah, tak sangka itu lambaian terakhir,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Ruat, semalam.

Nurul Syafika berkata, ibu dan adiknya mengikut keluarga ibu saudaranya, Jamilah Jalim@Jamil, 47, (meninggal) dan dua kereta sepupunya ke Shah Alam, Selangor untuk menghadiri majlis kenduri doa selamat di sana.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Ibu dan ibu saudaranya bercadang untuk memasak sendiri pada majlis kenduri seorang lagi ibu saudara mereka, Norliza Jalim, 39, yang baru berpindah ke rumah baru di sana.

“Pada mulanya saya berat nak bagi emak ke sana tapi arwah kata sekejap saja dia pergi dan pulang ke sini Isnin nanti tapi tak sangka ia berakhir dengan tragedi.

“Sekarang tinggal saya dan dua beradik lain bersama ayah kerana ibu dan adik dah pergi buat selamanya,” katanya.

Sementara itu, anak kepada pemandu yang maut, Muhammad Zhaiirul Aqil Mohamad Rodzi, 23, berkata, dia kini yatim piatu kerana kehilangan ibu, bapa dan adik dalam kemalangan itu.

Katanya, sepatutnya dia turut menyertai konvoi ke majlis kenduri itu namun disebabkan tiada siapa hendak menjaga rumah, dia tinggal di rumah neneknya di sini.

“Saya banyak tinggal di rumah tok (nenek) di Kampung Ruat dan mungkin saya akan tinggal di sini nanti namun akan pulang menjenguk rumah ibu ayah di Bedong, Sungai Petani.

“Saya rasa bagaikan mimpi kerana saya hilang semuanya terutama ibu dan ayah namun saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 8:02 AM