Nurul Hidayah Bahaudin dan Faliq Lajim


PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sugarbook, Darren Chan menyifatkan gesaan orang ramai supaya aplikasi itu diharamkan adalah tidak adil.

Darren berkata, aplikasi itu diwujudkan bagi menyediakan platform temu janji untuk wanita memilih secara bebas apa yang dikehendaki dalam hubungan yang ideal tanpa dinilai.

“Berhubung isu papan iklan yang mencetuskan kebimbangan orang ramai, kami harap anda (orang awam) memahami bahawa Sugarbook dibina bagi membolehkan wanita memilih secara bebas apa yang dikehendaki dalam hubungan yang ideal tanpa sebarang penilaian.

“Kata kunci di sini adalah ‘pilihan’ dan Sugarbook adalah mengenai memberikan pilihan itu,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook, hari ini.

Katanya, istilah ‘sugar baby’ bukan pekerja seks yang menyalahi undang-undang.

“Mereka tidak memperdagangkan tubuh mereka dengan wang. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti ibu tunggal yang hidup dalam kesusahan, suri rumah, balu dan janda.

“Kami yakin orang awam berniat baik, namun ia tidak adil untuk mengharamkan aplikasi ini. “Kami bimbang desakan ini akan menjejaskan kebebasan dan pilihan rakyat Malaysia,” katanya.

Hari ini, Harian Metro melaporkan iklan aplikasi temu janji berkenaan yang terpampang di Bangsar dan Bukit Kiara tidak mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

DBKL dalam kenyataan, memaklumkan pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada YWP serta operator iklan iaitu Out of Home supaya segera menarik balik paparan iklan terbabit.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai paparan iklan di beberapa lokasi itu yang berunsurkan mempromosikan tawaran ‘sugar daddy’ kepada wanita muda dan cantik sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan iklan terbabit dipaparkan sejak 3 Disember lalu di dua lokasi berkenaan.

Berita berkaitan

'Haramkan semua aplikasi pelacuran'

Operator 'sugar daddy' kena amaran

Iklan 'sugar daddy' ditarik balik

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 8:00 PM