TUANKU Muhriz beramah mesra dengan peserta pertandingan.
TUANKU Muhriz beramah mesra dengan peserta pertandingan.
Amran Yahya


KUALA PILAH: Pesta Bola Ngoca 2019 bagai mengimbau kembali zaman kanak-kanak apabila peserta berpeluang bermain bola sepak sawah dan menangkap ikan yang turut dikenali sebagai tradisi ‘mengoca’ di Empang Bangkung, Juasseh, semalam.

Peserta dewasa turut tidak melepaskan peluang apabila dapat mengimbau semula pengalaman melakukan aktiviti terbabit yang pernah dilakukan mereka suatu masa dulu.

Lebih menyeronokkan apabila pertandingan bola sepak sawah menyaksikan pertarungan 128 pasukan termasuk 30 pasukan dari luar Negeri Sembilan.

Pesta anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 3,000 individu menyertai aktiviti yang dijalankan bermula kelmarin.

Ketua pasukan NR Team, Mujahid Ali, 36, berkata, jumlah pasukan yang menyertai pertandingan bola sepak sawah pada kali ini adalah sesuatu yang luar biasa dan mengakui teruja menjadi antara pasukan yang bertanding.

PESERTA  menangkap   ikan     pada acara   ngoca di tapak sawah Empang Bangkung, semalam.
PESERTA menangkap ikan pada acara ngoca di tapak sawah Empang Bangkung, semalam.

Dia yang berasal dari Kemaman, Terengganu berkata, pasukan bola sepak pantai itu ditubuhkan pada 2017 dan mereka mengambil peluang menyertai aktiviti bola sepak sawah yang konsep pertandingan sama seperti bola sepak pantai.

“Kami mendapat tahu penganjuran pertandingan itu selepas melihat di laman sosial Facebook. Kami teruja untuk menyertainya, lebih-lebih lagi hadiah ditawarkan lumayan.

“Pasukan kami beberapa kali menjadi juara dalam kejohanan bola sepak pantai dan kami mencuba nasib bermain bola sepak sawah pula.

“Kami memilih aktiviti ini untuk mengisi waktu cuti. Saya lihat walaupun ada anak muda yang bekerja di bandar menyertai pertandingan ini tetapi mereka tidak kekok dan geli untuk bermain dalam lumpur,” katanya.

Bagi peserta mengoca, Sidek Tahir, 60, berkata, walaupun ngoca di sawah tidak semeriah ngoca di kawasan empangan, namun ia cukup menggamit nostalgia.

“Kalau ngoca di empangan banyak jenis ikan seperti lampam jawa, sebarau, baung, udang galah, keli dan patin boleh didapati berbanding di sawah hanya ikan keli dan belut saja,” katanya.

Pesta berkenaan turut membabitkan pertandingan panjat tiang licin, tangkap itik dalam petak sawah, basikal titi dan baling tin.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut mencemar duli ke pesta itu.

SALAH satu pasukan yang menyertai pertandingan bola sepak sawah.
SALAH satu pasukan yang menyertai pertandingan bola sepak sawah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 6:00 AM