PESERTA pesta air dan sukan rakyat mengukur kelapa didalam sungai pada program yang diadakan di Kampung Datuk Johan. FOTO ABNOR HAMIZAM
PESERTA pesta air dan sukan rakyat mengukur kelapa didalam sungai pada program yang diadakan di Kampung Datuk Johan. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Sambutan Hari Malaysia diraikan dengan cara unik apabila beratus kanak-kanak dan orang dewasa menyertai pesta air dan sukan rakyat diadakan di Kampung Datuk Johan, di sini, tadi.

Bagai mengimbau kenangan lama, peserta mengambil kesempatan 'bercempogho' di Sungai Serting bagi menangkap ikan dan itik, kukur kelapa serta menyertai acara tarik tali dalam air.

Program itu dianjurkan Persatuan Belia 4B Kampung Datuk Johan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kampung berkenaan.

Penyelaras Program Pesta Air dan Sukan Rakyat, Zul Hainif Abd Ghafar berkata, program dirancang sejak dua bulan lalu itu bertujuan menyemarakkan sambutan hari Malaysia.

Katanya, kampung itu mempunyai sawah pagi sekitar tahun 70-an dan Sungai Serting menjadi sumber pengairan sawah padi.

"Berikutan itu, kami mahu mengembalikan nostalgia itu terutama kepada golongan muda dengan mengadakan pesta air dan sukan rakyat yang pernah dilakukan selepas musim menuai padi.

"Sebanyak 40 kilogram pelbagai jenis ikan antaranya keli, puyu, baung dan tilapia dilepaskan bagi aktiviti mengoca," katanya.

Majlis penutup program disempurnakan Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah ( RISDA ) Datuk Mohd Salim Shariff.

Zul Hainif berkata, program itu diharap dapat mengeratkan silaturahim penduduk sama ada yang menetap di sini atau di bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 4:26 PM