Noorazura Abdul Rahman


Kuala Nerang: Lebih 100 penduduk sekitar Padang Terap 'bermandi lumpur' di bawah terik matahari bagi menyertai pertandingan serkap ikan anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang di sini, kelmarin.

Tanpa mengira peringkat umur, penduduk berkumpul mulai jam 2 petang di Kampung Rambutan, dengan membawa serkap masing-masing sebelum pertandingan bermula tepat jam 3 petang.

Tradisi turun-temurun masyarakat menangkap ikan menggunakan serkap hanya boleh dilakukan ketika sawah mula dibajak semula bagi musim penanaman padi.

Sebaik saja wisel dibunyikan, peserta terjun ke petak sawah dalam misi menangkap sebanyak mungkin ikan puyu, haruan, sepat dan keli sebelum dipilih sebagai pemenang.

Peserta, Jalil Hassan, 50, berkata dia menyertai pertandingan itu secara kebetulan kerana pulang bercuti di kampungnya di Naka.

SEBAHAGIAN penduduk kampung yang menyertai pertandingan serkap ikan di Kampung Rambutan, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN penduduk kampung yang menyertai pertandingan serkap ikan di Kampung Rambutan, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Kebetulan saya pulang bercuti, saya kerja di Pulau Pinang, adik ipar maklumkan ada pertandingan serkap ikan jadi memang saya tidak lepaskan peluang kerana sejak kecil sudah biasa lakukan aktiviti menangkap ikan di sawah.

"Walaupun tidak menang, tetapi saya rasa puas dapat bersama penduduk berkongsi keseronokan dan keterujaan sambil mengimbau kenangan zaman kanak-kanak mengekori belakang tenggala yang ditarik kerbau," katanya.

Seorang lagi peserta, Azli Abdul Manaf, 39, berasal dari Kampung Pisang berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu bukan untuk mencari kemenangan, sebaliknya hanya mahu memeriahkan suasana.

"Pertandingan ini pada saya lebih untuk mengeratkan hubungan penduduk kerana yuran pendaftaran yang dikenakan cuma RM3, tetapi yang penting memang seronok serkap ikan dalam sawah, habis 'belemoih' (comot) baju," katanya.

SEBAHAGIAN hasil serkap ikan di Kampung Rambutan, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN hasil serkap ikan di Kampung Rambutan, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir

Juara pertandingan, Alif Aizat Mohd Hamizi, 12, berkata, dia seronok dapat menyertai pertandingan itu buat kali pertama biarpun sudah biasa menyerkap ikan sejak berusia lapan tahun bersama rakan-rakan.

Katanya, dia mengakui gugup ketika melihat barisan peserta yang terdiri daripada penduduk kampung pelbagai lapisan umur yang turut bersama-sama mahu memeriahkan pertandingan berkenaan.

"Namun, selepas seekor demi seekor ikan dapat diserkap, saya mula rasa tenang dan kembali teringat aktiviti menyerkap yang dilakukan setiap petang sebelum ini.

"Akhirnya saya berjaya berjaya mendaratkan 800 gram ikan puyu dan haruan," kata murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bakti di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Mohammad Yusoff@Munir Zakaria berkata, tujuan penganjuran pertandingan itu adalah untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat khususnya penduduk Kampung Rambutan.

"Kita mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung ini dan kawasan sekitar di mana penyertaan dalam pertandingan yang adalah anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ini.

"Kita membuka penyertaan kepada seluruh penduduk kampung tanpa mengira bangsa dan fahaman politik kerana pertandingan seperti ini hanya dapat dilakukan dua kali dalam setahun sebelum pesawah mengusahakan semula sawah mereka untuk penanaman baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 12:40 PM