Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Kuala Pilah. FOTO Ihsan Bomba
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Kuala Pilah. FOTO Ihsan Bomba
Amran Yahya


WARGA emas Ramalah Ablasam, 72, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 4, Jalan Ampang Tinggi, Kuala Pilah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, dalam kejadian jam 3.50 petang itu, mangsa memandu Perodua Kancil dari Ampang Tinggi menuju pekan Kuala Pilah bersendirian.

Katanya, setibanya di lokasi kereta itu hilang kawalan, terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Kereta terbabit merempuh masing-masing sebuah Proton Iswara dan Perodua Myvi.

“Mangsa maut di lokasi akibat parah di kepala serta badan,” katanya hari ini.

Haslah berkata, pemandu Perodua Myvi, Nor Aina Mardhiah Zainuddin, 27, dan seorang anak perempuan cedera.

Pemandu Proton Iswara, Mohamad Fadil Rozi, 31, isteri dan anak perempuan tidak cedera.

“Mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41( 1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 8:45 PM