JENAZAH mangsa kemalangan maut di hadapan Ladang Fikri, Kuala Nerus, semalam  dibawa ke Unit Forensik HSNZ.
JENAZAH mangsa kemalangan maut di hadapan Ladang Fikri, Kuala Nerus, semalam dibawa ke Unit Forensik HSNZ.
HM Digital

Kuala Terengganu: “Saya jarang balik ke rumah keluarga di Kampung Seberang, Marang, tetapi semalam (kelmarin) saya tergerak melawat mereka dan rupa-rupanya itu peluang terakhir untuk kami bertemu,” kata Intan Norain Mohd Asri, 25, anak Mohd Asri Muda, 48, yang maut dalam kemalangan di hadapan Ladang Fikri, Kuala Nerus, semalam.

Turut terkorban dalam kemalangan jam 8.30 pagi itu adalah Md Jelani Bahari, 80, manakala dua lagi cedera termasuk seorang parah.

Kejadian dipercayai berlaku ketika Mohd Asri dan Md Jelani bersama Nor Azan Md Jelani, 47, yang menaiki kereta Proton Iswara Aeroback dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Setiu.

Bagaimanapun, kereta Proton Iswara Aeroback dipandu Nor Azan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Myvi dipandu wanita berusia 26 tahun.

Kejadian itu menyebabkan Mohd Asri dan Md Jelani meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan manakala dua lagi mangsa termasuk Nor Azan yang parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Intan Norain berkata, dia yang tinggal di Kampung Rusila pulang ke rumah keluarganya kelmarin kerana sudah lama tidak bertemu dengan orang tuanya.

“Saya jarang balik ke rumah, tetapi semalam (kelmarin) saya mahu sangat melihat ibu dan ayah. Hari ini, terjawab sudah kenapa saya bersikap sedemikian semalam.

“Ketika berada di rumah, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma dia kelihatan ceria melayan kerenah dua anak lelaki saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kemalangan terbabit.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 3:55 AM