MANGSA menunjukkan laporan penipuan sebuah syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji di IPD Kota Tinggi, semalam.
MANGSA menunjukkan laporan penipuan sebuah syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji di IPD Kota Tinggi, semalam.
Mary Victoria Dass


PELBAGAI alasan tidak munasabah diberikan sebelum 53 mangsa yang membayar RM2.1 juta berputih mata selepas impian menunaikan ibadah haji berkubur.

Difahamkan semua mangsa sepatutnya bertolak ke Tanah Suci Ogos lalu selepas dijanjikan sindiket yang mendakwa sebagai agensi pelancongan terkemuka.

Mangsa yang juga suri rumah, Rosnah Ali Bakri, 56, berkata, penerbangannya ke Jeddah, Arab Saudi dijadualkan 4 Ogos lalu namun ditunda kepada 8 Ogos hingga akhirnya dibatalkan dengan alasan permohonan visa ditolak.

Menurutnya, ejen agensi itu berjanji mengembalikan wang November lalu namun gagal berbuat demikian dengan alasan menunggu pemulangan wang daripada syarikat penerbangan serta hotel ditempah.

“Impian saya dan suami menunaikan rukun Islam kelima terkubur dan lebih malang hingga kini wang kami berjumlah RM86,000 belum dikembalikan.

“Walau satu sen sekalipun, ia masih hak kami dan ramai lagi mangsa termasuk mereka yang dimamah usia berasa ditipu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Jamaludin Kamal, 38, berkata, dia membayar RM90,000 bagi pakej mengerjakan haji.

Menurutnya, bayaran dilakukan antara 13 Februari dan 23 Julai lalu bagi membolehkan dia menunaikan haji mulai 4 Ogos hingga 5 September lalu.

Katanya, 3 Ogos lalu, dia menerima notis penerbangan ditunda dan difahamkan dibatalkan.

“Hari ini (semalam) kami mewakili semua mangsa termasuk dari Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah berkumpul membuat laporan demi menuntut keadilan.

“Kami tidak pasti sama ada syarikat putar alam itu masih wujud di Kota Tinggi namun pelbagai usaha kami untuk menghubungi mereka menemui kegagalan.

“Kami difahamkan ada kumpulan yang mengambil pakej umrah daripada agensi sama berdepan masalah. Kami berharap mereka tampil membuat laporan bagi memudahkan pihak berkuasa menyiasat,” katanya.

Menurutnya, ejen syarikat itu mendakwa agensi berkenaan berpengalaman membawa jemaah haji sejak 1996.

“Saya kecewa hasrat menunaikan haji gagal malah wang dibayar itu hilang entah ke mana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 6:30 AM