SEBAHAGIAN daripada mangsa penipuan pakej umrah Kak Ton membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah, semalam.
SEBAHAGIAN daripada mangsa penipuan pakej umrah Kak Ton membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah, semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Rompin: “Hendak tunggu giliran pergi haji lambat lagi, jadi saya bercadang mengerjakan umrah demi merasa menjejakkan kaki di Tanah Suci.

“Namun, tidak sangka pula impian itu terkubur apabila individu bertanggungjawab menguruskan pakej umrah gagal menunaikan janjinya dan wang yang dibayar juga tidak dapat dikembalikan,” kata Samah Lidai, 66.

Samah antara 48 jemaah umrah dari FELDA Keratong, Muadzam Shah, di sini, yang ditipu individu dikenali sebagai Kak Ton berhubung pakej umrah yang membabitkan nilai keseluruhan RM300,000.

Bapa tujuh anak itu berkata, dia bersama lima ahli keluarga yang lain sepatutnya berlepas ke Tanah Suci awal bulan ini seperti dijanjikan Kak Ton.

Katanya, Kak Ton memaklumkan dia daripada sebuah syarikat yang melakukan pelbagai perniagaan dan berpangkalan di Kamunting, Perak.

Difahamkan, syarikat itu bekerjasama dengan beberapa agensi lain untuk menghantar mereka mengerjakan umrah.

Lelaki warga emas itu berkata, mereka sekeluarga membayar RM5,000 seorang untuk pakej umrah itu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Kak Ton.

“Kami membuat pembayaran penuh pada November 2016 dan segala persiapan dilakukan. Saya teruja sangat kerana ini kali pertama saya ke sana (Makkah).

“Namun, kami kecewa apabila Kak Ton memaklumkan syarikatnya tidak mampu menghantar kami dan menanggung segala pembayaran serta memberikan pelbagai alasan tidak masuk akal,” katanya.

Anaknya, Noorkhamilasari, 36, berkata, Kak Ton tidak memaklumkan sebarang perkembangan mengenai status pakej itu seperti kursus umrah atau tarikh berlepas kepada mereka.

“Hanya selepas kami bertanya, baru dia memberitahu tidak dapat menguruskan pemergian kami ke sana kerana tiada wang mencukupi.

“Dia juga berkata, wang yang kami bayar itu digunakan pemilik syarikat sebagai modal perniagaan. Apabila kami meminta mengembalikan semula wang berkenaan, dia tidak dapat berbuat demikian,” katanya.

Kira-kira 20 daripada 48 bakal jemaah umrah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Izzat Fahmi Abdullah Sani, 26, berkata, Kak Ton meminta jumlah bayaran berbeza daripada jemaah untuk pakej berkenaan.

Katanya, dia membayar RM9,000 untuk dirinya dan ibu bapanya manakala ada juga penduduk lain membayar RM4,000 seorang.

“Kami ada ajak Kak Ton bertemu dan jelaskan masalah dihadapinya sehingga gagal menguruskan pakej umrah itu, namun dia seperti mengelak dan memberikan banyak alasan.

“Sebelum ini, dia ada bawa beberapa kumpulan jemaah umrah lain ke Tanah Suci dan tiada masalah, jadi atas dasar percaya kerana dia juga berasal dari FELDA Keratong, kami menyertai pakej umrah ditawarkannya,” katanya.

Menurutnya, laporan polis dibuat bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi mahu mendapatkan semula wang yang dibayar selain memberikan pengajaran kepada Kak Ton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:56 AM