TUAH ADZMI
TUAH ADZMI
Norhayati Nordin


PEMBABITAN secara serius bakat baru, Tuah Adzmi, 21, dalam kerjaya seni bermula ketika dia berumur 15 tahun.

Bukan sekadar boleh menyanyi, Tuah yang juga anak tunggal juga berbakat bermain muzik dan mencipta lagu sendiri.

Bersyukur kerana minatnya terhadap muzik tidak dihalang ibu tersayang, Tuah berkata dia banyak berusaha sendiri.

“Sejak kematian bapa ketika saya masih kecil, ibu menjadi ketua keluarga yang bekerja mencari rezeki buat kami.

“Ibu sentiasa menyokong minat saya dalam nyanyian walaupun perlu berdikari mengumpul duit,” katanya.

Tuah atau nama sebenarnya Arumi Nafiz Mohd Adzmi berkata, menyedari platform digital sangat berpengaruh, dia enggan melepaskan peluang.

“Di sebalik usaha keras mengumpul wang bagi merakamkan demo lagu, saya juga mewujudkan saluran YouTube sendiri.

TUAH popular dengan lagu Air Mata Rindu.
TUAH popular dengan lagu Air Mata Rindu.

“Menerusi platform YouTube itu, saya ketengahkan bakat nyanyian dengan menyanyikan semula lagu popular.

“Alhamdulillah, walaupun ketika itu saya belum bernaung dengan syarikat rakaman FMC sebagai penyanyi, lagu dinyanyikan mendapat sambutan,” katanya.

Menurut Tuah, ketika berusia 17 tahun dia tampil dengan lagu ciptaan sendiri berjudul Raja Di Hati yang dimuat naik di YouTube.

“Berbekalkan semangat membara, saya hasilkan lagi lagu baharu berjudul Air Mata Rindu.

“Tak sangka lagu ini tular di media sosial selepas beberapa bulan di muat naik di YouTube,” katanya.

Kata Tuah, dek rezeki lagu Air Mata Rindu juga dia dilamar menjadi penyanyi rakaman oleh FMC pada Februari lalu.

“Kini, saya pertaruhkan pula lagu baharu yang dicipta khas buat pendengar berjudul Insan Kau Cinta.

“Lagu ini cukup dekat dengan hati saya kerana mengambil kira situasi sebenar orang sekeliling.

“Saya gembira Insan Kau Cinta pernah trending di YouTube pada jun lalu dan hingga kini mencatat lebih tiga juta tontonan,” katanya yang mahir bermain gitar, piano dan keybord sejak berusia 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 5:25 AM