BUAT yang terbaik dalam penghasilan lagu.  FOTO Aziah Azmee
BUAT yang terbaik dalam penghasilan lagu. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


WALAUPUN masih baru menempa nama di arena muzik arus perdana, percaturan dilakukan penyanyi Tuah Adzmi, 21, nampaknya berjaya.

Tuah atau nama sebenarnya Arumi Nafiz Mohd Adzmi kini semakin dikenali dengan lagu Insan Kau Cinta.

Mengulas populariti lagunya, Tuah sangat bersyukur kerana pendengar menerima baik karya itu.

“Saya tak sangka, lagu dihasilkan menarik hati pendengar muzik yang menggemari irama balada. Apa yang pasti, saya sudah membuat yang terbaik dalam penghasilan lagu ini mengikut cita rasa sendiri,” katanya.

Tuah yang mengetengahkan bakatnya menerusi platform YouTube lebih dulu menjadi perhatian dengan lagu Air Mata Rindu.

Lagu mengisahkan kejujuran dalam percintaan yang diuji itu mencatat jutaan tontonan di YouTube.

BANGGA muzik video lagunya mencatat jutaan tontonan di YouTube. FOTO Aziah Azmee
BANGGA muzik video lagunya mencatat jutaan tontonan di YouTube. FOTO Aziah Azmee

Untuk video lirik lagu Air Mata Rindu mencatat 7.8 juta tontonan dalam tempoh setahun.

Begitu juga penerimaan baik pada muzik video muzik rasmi yang mencatat sembilan juta tontonan untuk tempoh 12 bulan.

Tuah berkata, dia hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada pendengar yang menyokong karya lagunya.

“Saya hasilkan lagu berunsur percintaan kerana minat. Malah, agak mudah untuk mendapatkan melodi dan lirik.

“Lagipun, kisah percintaan sinonim dalam hidup manusia. Setiap orang ada pengalaman bercinta,” katanya.

Mengulas muzik video lagu Insan Kau Cinta, Tuah berkata, dia gembira dalam tempoh enam bulan sudah lima juta tontonan dicatat di YouTube.

“Ini semua rezeki bagi saya kerana susah payah untuk ketengahkan bakat akhirnya rasa berbaloi. Jika sebelum ini saya giat berusaha mencari hala tuju untuk kerjaya seni diminati. Sekarang ia berhasil,” katanya.

Tuah yang juga anak tunggal dalam keluarga berkata, kejayaan dimilikinya kini adalah di atas doa ibunya.

“Saya dibesarkan sendirian oleh ibu selepas ayah meninggal dunia. Sekarang, masanya saya membalas jasa ibu,” katanya.

Tuah berkata, dia gembira ibu tidak pernah menghalangnya kejar impian untuk ketengah bakat dalam kerjaya seni.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:30 AM